Keputusan Terkini

Kelantan 0 vs JDT 3 (2 Sep 2014)... Pulau Pinang 1 vs Kelantan 3 (29 Aug 2014)... Kelantan 1 vs ATM 2 (26 Aug 2014)... ATM 0 vs Kelantan 3 (23 Aug 2014)... Kelantan 3 vs Pulau Pinang 1 (19 Aug 2014)... JDT 1 vs Kelantan 0 (13 Aug 2014)...

Artikel Berkaitan...

Saturday, July 14, 2012

The Red Warriors berpesta

JUARA Liga Super, Kelantan menampilkan aksi mantap pada babak kedua untuk menumpaskan Sarawak 3-1 pada perlawanan terakhir liga di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad bimbingan Bojan Hodak menutup saingan Liga Super musim ini dengan bergaya apabila mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya tahun lalu.

Skuad The Red Warriors berjaya mengumpul 60 mata, sekali gus meranapkan impian wakil Singapura, Lions XII untuk mencipta kejutan pada penampilan pertama dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Kemenangan tersebut cukup manis buat semua barisan pemain Kelantan apabila mereka menjulang trofi liga di hadapan 18,000 penyokong setia yang hadir memberikan sokongan pada perlawanan tersebut.

Pada perlawanan itu, skuad The Red Warriors yang sudah dinobatkan selaku juara liga tidak memberikan laluan mudah buat pasukan bimbingan Robert Albert apabila mempamerkan aksi bertenaga meskipun dihampakan dengan ketumpulan jentera serangan yang diketuai oleh Norshahrul Idlan Talaha.

Situasi sama turut berlaku kepada pasukan pelawat yang menyaksikan jentera serangan yang dikemudi tonggak import, Joel Epalle gagal memecahkan kebuntuan, sekali gus menyaksikan kedudukan separuh masa pertama berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Bersambung pada babak kedua, Sarawak yang dilihat cuba mendominasi perlawanan dikejutkan dengan jaringan pertama tuan rumah menerusi kapten, Mohd. Badhri hasil sepakan percuma pada minit ke-61.

Selang empat minit kemudian, Stadium Sultan Muhammad IV sekali lagi bergemuruh dengan sorakan penyokong apabila pemain sayap, Nor Farhan Mohammad meledakkan gol kedua tuan rumah.

Nor Farhan terus membuktikan ketajaman penyudahnya apabila meledakkan gol ketiga Kelantan selepas menerima hantaran ketua pasukan, Mohd. Badhri pada minit ke-67, sekali gus melengkapkan jaringan kedua peribadi.

Gol tersebut tidak menjejaskan rentak permainan pelawat yang akhirnya berjaya mendapatkan gol saguhati pada minit ke-69 menerusi Mohd. Hairul Moktar.

Keputusan 3-1 kekal berpihak kepada tuan rumah dan Stadium Sultan Muhammad IV bergemuruh dengan sorakan para penyokong setia Kelantan bagi meraikan kejuaraan mempertahankan trofi Liga Super buat kali kedua berturut-turut.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment