Keputusan Terkini

Kelantan 0 vs JDT 3 (2 Sep 2014)... Pulau Pinang 1 vs Kelantan 3 (29 Aug 2014)... Kelantan 1 vs ATM 2 (26 Aug 2014)... ATM 0 vs Kelantan 3 (23 Aug 2014)... Kelantan 3 vs Pulau Pinang 1 (19 Aug 2014)... JDT 1 vs Kelantan 0 (13 Aug 2014)...

Saturday, June 25, 2011

Olimpik Malaysia 2 vs Lubnan 1

Pasukan Olimpik Malaysia yang dibimbing oleh Ong Kim Swee beraksi cemerlang di Stadium Nasional Bukit Jalil, dengan jaringan 2 gol berbalas satu. Kemenangan semalam membuka langkah seterusnya kepada Malaysia untuk beraksi di peringkat kumpulan untuk saingan olimpik. Syabas dan tahniah diucapkan kepada skuad muda negara.

Walaupun beraksi dengan hanya 10 orang pemain di separuh masa kedua, namun semangat kental yang ditunjukkan membuahkan hasil. Semuanya gara-gara Gary dibuang padang setelah mengumpul kad kuning kedua setelah mengasari pemain Lubnan. Pastinya jika pasukan negara kalah, corak cerita akan berubah dan pastinya Gary akan jadi penyebabnya. Gary hari ini memohon maaf secara terbuka kepada barisan pemain dan peminat dalam laporan Harian Metro hari ini.

Video ringkas jaringan dari EPLSoker..











Kemenangan Malaysia diraikan oleh hampir 15ribu penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil sebaliknya ditangisi oleh pasukan Lubnan. Bukan rezeki mereka.. Tahniah kepada semua..

Monday, June 20, 2011

Harimau Muda Cemerlang di Kelantan

Barisan pemain Malaysia yang menyarung jersi biru, beraksi cemerlang di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu malam tadi. Kemenangan pasukan Harimau Muda membelasah pasukan Myanmar dalam perlawanan persahabatan semalam mengubat duka pasukan negara setelah tewas 2 kali sebelum ini.

Kehadiran hampir 15 ribu orang penyokong di Kota Bharu membuktikan bahawa penyokong kita adalah yang terbaik di Malaysia. Kita bukan peminat bola negeri Kelantan semata-mata. Kehadiran penyokong yang ramai semalam mengesahkan bahawa rakyat Kelantan adalah peminat bola sepak yang sebenar-benarnya, baik untuk negeri dan negara. Walaupun kita tewas kepada Terengganu di perlawanan akhir Piala FA, kekecewaan tersebut biarpun ada namun tidak menjejaskan semangat kesukanan dan sokongan pada pasukan tercinta.

Apakah betul kemenangan Malaysia semalam dibantu oleh sokongan penyokong? Jawapannya memang YA! Bayangkan sebelum ini pasukan negara bermain tanpa sokongan. Tiada sorakan oleh peminat bukan sedikittapi banyak menjatuhkan moral pemain. Itulah yang terjadi kepada Kelantan apabila tewas kepada Terengganu sebelum ini. Walaupun kita ramai, namun tanpa sorakan dan sokongan, kita tertewas. Secara tidak langsung kita pemain akan tertewas. Itulah sifir yang mudah.

Syabas dan tahniah kepada penyokong Kelantan. Terima kasih juga kepada pihak FAM kerana memberi ruang dan kepercayaan kepada Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa untuk membuktikan bahawa penyokong Kelantan adalah yang terbaik setakat ini dan insyaAllah selama-lamanya.

Video jaringan Gol:






p/s: kawe suko benar bilo sek-sek kito royak..
"GOMO MALAYSIA GOMO"

Haha.. Hebat.. Mitok2 jadi trademark jugok.. Secara x langsung, bilo ingat team Malaysia, ingat team Kelate The Red Warriors!

Gomo Kelate Gomo!!!

Tuesday, June 14, 2011

Kekal di Persada Liga

Tahniah kepada Kelantan, akhirnya menang jugak. Jaringan tunggal Mat Yo pada minit ke-53 memberikan 3 mata penuh buat Kelate kito. Walaupun dendam x berbalas, tapi cukuplah untuk kekal di persada liga. Peluang cerah untuk Kelantan menjulang Liga Super pada musim ini, hanya tinggal 1 perlawanan sahaja lagi.. Maruah tertebus, diharap moral pemain dan penyokong kita kembali pulih.

Mengulas permainan malam ni, Kelantan sepatutnya mendapat 2 gol namun sepakan penalti oleh Mat Yo gagal disempurnakan gara-gara psikologi penjaga gol Perak. Kalu x silap,ni kali kedua sepakan penatli Mat Yo x masuk di Stadium Sultan Muhammad ke-IV. Mungkin gu lawan blh baca dah bola Mat Yo + Mat Yo ugah oleh psikologi. Namun Mat Yo tetap penyerang yang terbaik setakat ni.

Kelantan kembali menguasai perlawanan pada separuh masa kedua setelah Akmal Rizal cedera dan diganti. Ketiadaan Akmal jelas mengubah rentak membolehkan Kelantan berterusan mengasak pertahanan Perak.

Lepas ni, Kelantan akan berhadapan dengan Sabah pada 6-July-2011 di Kota Kinabalu, Sabah. Kelebihan kepada Kelantan berbanding Terengganu dan Selangor untuk perlawanan terakhir nanti. Kelantan hanya perlu seri sahaja untuk mengesahkan kita adalah juara. Di atas kertas boleh dikatakan kita juara, namun kita tidak boleh berpuas hati sekarang selagi perlawanan terakhir belum bermula. Dengan masa rehat yang panjang, diharap pemain Kelantan memanfaatkan masa yang ada untuk merehatkan diri dan menghilangkan trauma kekalahan dramatik kepada Terengganu tempoh hari.



Kelantan 1 - Perak 0
Norshahrul Idlan Talaha [M-52]

Tarikh: 14 June 2011
Stadium: SSMIV
Main biar molek.. Sokong biar molek.. Gomo KELATE Gomo!!!!!!!!!!!

Mampukah Kelantan Tewaskan Perak?

Sedikit update ringkas.. Kelantan tempoh hari kalah kepada Terengganu 2-1 dalam perlawanan akhir Piala FA 2011 akan berhadapan dengan Perak pada malam ini. Persoalannya seperti biasa, mampukah Kelantan mengutip 3 mata penuh untuk terus selesa di persada liga? Kekecewaan Kelantan dibelasah Perak 4-0 tempoh hari masih berbekas..

Kelantan malam ini akan turun dengan harapan yang menggunung untuk menewaskan Perak. Walaupun keletihan dan sokongan moral yang tidak seberapa, Kelantan diharap dapat mempersembahkan aksi yang terbaik untuk mengutip 3 mata penuh sekali gus mengubat kekecewaan Sabtu lalu.

Beraksi di stadium Sultan Muhammad ke-IV diharap memberikan advantage kepada Kelantan. Walaupun jadual perlawanan yang ketat, kita tidak ada pilihan untuk menjadikannya sebagai alasan. Agak kelakar juga dengan jadual yang sebegitu rupa, namun apa yang boleh dikata.

Itu saja, semoga The Red Warriors beroleh kejayaan.

Renungan Buat Penyokong TheRedWarriors

Kawe tertarik denge ulasan Tan Sri Annuar Musa dale ruange FB beliau, berkaitan sikap n perangai penyokong setia The Red Warriors. Sedikit petikan dari kata-kata Tan Sri yang tidak dapat disangkal lagi betulnya, petikan lebih kurang:

1. Penyokong The Red Warriors semakin matang

- Walaupun kita kalah dalam perlawanan akhir Piala FA 2011, namun tidak ada sebarang kes buruk dilaporkan. Kita semakin matang dalam menerima kekalahan. Adat perlawanan ada kalah dan ada yang menang. Mungkin emosi penyokong Kelantan agak terkawal kerana lawan kita adalah Terengganu, jiran yang paling dekat dengan kita. Sedikit sebanyak, faktor jiran menyumbang kepada kelakuan baik penyokong The Red Warriors. Syabas kepada penyokong.

2. Kekuatan mental penyokong The Red Warriors adalah segala-galanya

- Terbukti sudah, kejayaan Kelantan selama ini adalah hasil sokongan padu penyokong setia The Red Warriors. Kenyataan ini dibuktikan 100% apabila Terengganu berjaya mengikat Kelantan ketika perlawanan hanya berbaki beberapa saat sahaja lagi. Bilangan penyokong Terengganu yang lebih kurang satu per tiga penyokong Kelantan berjaya menenggelamkan sorakan penyokong Kelantan. Sebelum pasukan kita tewas, penyokong kita terlebih dahulu sudah pun tertewas. Cuba bayangkan bagaimana dengan pemain kita yang terpaksa beraksi selama 30 minit lagi dengan penyokong yang diam tanpa suara? Itulah kekalahan terbesar kita..

3. Fitnah yang tidak berasas

- Ketahuilah oleh sebilangan penyokong The Red Warriors yang telah melemparkan fitnah kepada pemain Kelantan kononnya pasukan kita telah dirahsuah, perlawanan telah diatur dan sebagainya bahawa fitnah ke atas seseorang itu adalah lebih besar bahayanya daripada membunuhnya.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah Ayat 191 yang bermaksud:

"Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhannya"

Terimalah kekalahan kita seadanya. Bukan rezeki kita, ada hikmah disebalik segalanya.

Buat penyokong The Red Warriors, hentikanlah sikap yang akan menjatuhkan dan merugikan pasukan kita sendiri. Pandanglah ke hadapan. Kita masih ada peluang untuk menebus kesilapan.

Buat barisan pemain dan jurulatih Kelantan, pengalaman perit tempoh hari diharap dijadikan pengalaman yang paling berguna untuk perlawanan akan datang. Jangan juga sesekali menyalahkan penyokong jika kualiti perlawanan dan aksi terbaik tidak dipersembahkan.

Sunday, June 12, 2011

Dramatik.. The Red Warriors Tersungkur

Dramatik.. Itulah perkataan ringkas yang paling tepat boleh ditujukan untuk perlawanan akhir Piala FA pada malam tadi. Hasrat Kelantan untuk merangkul Piala FA pada tahun ini terkubur lagi setelah Kelantan ditewaskan oleh Terengganu 2-1.

Pada separuh masa kedua, Kelantan terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan cantik Nurul Azwan Roya pada minit ke-78. Keputusan 1-0 dijangka kekal sehingga wisel penamat sebaliknya lebur apabila serangan terakhir Terengganu membuahkan hasil apabila Daudsu yang cuba mengeluarkan bola tertaduk masuk ke dalam gol sendiri. Aksi dramatik tersebut berlaku tatkala perlawanan berbaki lebih kerang antara 5 ke 30 saat sahaja lagi. Ia sekaligus membangkitkan semangat Terengganu dan meruntuhkan semangat skuad The Red Warriors.

Nasi sudah menjadi bubur. Kelalaian pemain Kelantan dan taktikal kurang berbisa dihukum lagi apabila Terengganu mengesahkan Piala milik mereka apabila Ahmad Nordin Alias menjaringkan gol kemenangan mereka dalam masa tambahan.

Secara keseluruhan, pemain Kelantan dilihat tidak berfungsi sepenuhnya. Tidak seperti perlawanan dalam Liga Super. Tetapi adalah tidak wajar jika ada pihak cuba mengatakan perlawanan semalam sudah diatur. Secara mudahnya, nasib tidak menyebelahi kita. Bukan salah Daudsu atau sesiapa. Jika Daudsu tidak menanduk bola pada saat terakhir tersebut, mungkin juga akan gol. Jalan cerita mungkin berubah tapi dalam bola sepak, itu adalah perkara biasa.

Apa-apa pun, syabas dan tahniah kepada Terengganu. Begitu juga Kelantan. Penyokong yang hadir jauh dari Kelantan, datang dengan bas diharap dapat berpuas hati dengan perlawanan seadanya. Hakikatnya bola sepak Kelantan masih banyak perlu dibaiki. Pihak pengurusan dan barisan jurulatih Kelantan mesti berbuat sesuatu. Sebagai penyokong, perlawanan yang cantik sudah cukup walaupun kita tewas. Agak perit untuk menerima kekalahan, tetapi itu sudah menjadi adat perlawanan.

Pengalamanan kali ini cukup bermakna. Biarpun sesaat, dalam apa-apa pun aktiviti selain bola sepak, kelalaian akan membawa padah! Semoga kita tidak berputih mata lagi untuk Liga Super dan aksi perlawanan lain yang akan datang.








Keputusan Penuh: Terengganu 2 - Kelantan 1

TERENGGANU: Sharbinee Allawee, Helmi Remeli, Mazuki Yusof (K), Mazlizam Mohamad, Zubir Azmi, Joseph Kalang Tie, Reeshafiq Alwi, Ismail Faruqi, Ashari Samsudin, Abdul Manaf Mamat, Abdul Hadi Yahaya.

KELANTAN: Khairul Fahmi Che Mat, Daudsu Jamaludin, S. Subramaniam, Farisham Ismail, Zairul Fitree, S. Chanthuru, Shakir Shaari, Badhri Radzi (K), Nurul Azwan Roya, Izuan Solahuddin, Norshahrul Idlan Talaha.

Belajarlah dari pengalaman.. Bangkitlah untuk kemenangan!

Friday, June 10, 2011

233 Bas TheRedWarriors ke Bukit Jalil

KIRA-kira 10,300 penyokong The Red Warriors dari Kelantan dijangka tiba awal pagi ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Rombongan tiba dengan 233 buah bas, bergerak secara berjadual bermula jam 10 malam tadi di tiga kawasan berasingan sekitar Kota Bharu iaitu di Wisma Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Wisma Tabung Haji dan Stadium Sultan Muhammad IV.

Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan, Harun Ali berkata, 33 bas disediakan untuk ahli kelab manakala 200 bas untuk penyokong yang membeli tiket melalui mereka.

“Kesemua bas tidak bergerak secara konvoi bagi mengelakkan kesesakan. Jadi setiap bas akan bergerak mengikut jadual ditetapkan.

“Rombongan dijangka tiba di Bukit Jalil jam 10 pagi esok (hari ini) ,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Kelab itu juga akan membuat persembahan dikir barat di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sumber: Sinar Harian

Glory, glory, glory! TheRedWarriors Forever!

2600 Anggota Keselamatan vs 85000 Penyokong Fanatik

Malam ini, skuad TheRedWarriors akan berhadapan dengan skuad Penyu untuk aksi perlawanan akhir Piala FA 2011. Siapakah yang akan bergelar juara Piala FA pada tahun ini akan terjawab pada malam ini. Kedua-dua pasukan masing-masing sibuk membuat persiapan terakhir di samping perang psikologi.

Aspek utama yang menjadi tumpuan pada malam ini pastinya faktor keselamatan penyokong dan juga pemain. Dengan kehadiran dinggarkan lebih 85,000 penyokong dari kedua-dua pasukan pastinya mengundang tanda tanya, bagaimanakah pasukan Keselamatan mengambil langkah untuk mengawal situasi. Kali ini, seramai 2,600 orang Anggota Keselamatan ditugaskan untuk menjaga disipilin penyokong. Mampukah bilangan 2,600 orang mengatasi 85,000 orang penyokong? Itu bukan soalan yang perlu ditanya. Apa yang penting, penyokong itu sendiri mestilah menunjukkan sikap yang professional pada malam ini. Janganlah kita menunjukkan sikap yang menjatuhkan imej dan maruah negeri kita, Kelantan. Begitu juga pesanan untuk penyokong Terengganu.

Anggap malam ini malam untuk hiburan. Sesiapa yang menang pastinya mereka lah yang terbaik. Cukup setakat itu, TITIK!.

Diharap perlawanan berprestij pada malam ini berlangsung dengan lancar. Harap tidak akan ada kekecohan yang akan mengundang kecederaan kepada orang lain. Lebih malang lagi jika berlaku kematian. Nauzubillah, minta jauh..

Untuk penyokong pasukan Kelantan, sokonglah dengan sokongan yang padu. Apa-apa pun keputusan, hadapi dengan tenang dan proffesional. Sama-samalah kita doakan pasukan kita akan jadi juara untuk kali pertama. Juara Piala FA 2011 sebelum Piala tersebut ditukar ke wajah baru.

Negeri dijunjung, harapan dijulang,
Bersatu menyokong The Red Warriors!

Jumpa malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil. Kibarkan bendera kita...!

Berwaspada Kebangkitan Terengganu - Perlawanan Akhir Piala FA 2011

Ketika ini, boleh dikatakan hampir setiap saat, perlawanan akhir Piala FA 2011 di antara Kelantan dan Terengganu menjadi sebutan peminat bola sepak tanah air. Tidak kiralah di negeri mana sekalipun, perlawanan malam esok adalah perlawanan berprestij yang akan menjadi tumpuan semua orang terutamanya penyokong setia kedua-dua negeri, Kelantan dan Terengganu. Pastinya debaran ini amat terasa lebih-lebih lagi kepada penyokong fanatik TheRedWarriors.

Mengulas laporan Harian Metro pada hari ini, peperangan psikologi antara kedua-dua pihak semakin menjadi-jadi. Jika dalam post sebelum ini, Kelantan dikaitkan dengan pelbagai kontroversi kononnya akan menjual perlawanan pada malam esok, situasi tersebut dilihat sebagai serangan psikologi untuk melumpuhkan kekuatan mental pasukan lawan, Terengganu. Mungkin ada jugak betulnya. Tidak wajar untuk kita melatah jika tiada fakta yang berasas. Itulah yang sentiasa berlaku apabila tibanya perlawanan akhir.

Sebelum ini, Terengganu dimalukan di laman sendiri seperti Kelantan dibelasah T-Team, pastinya akan mengundang balas dendam. Mereka semestinya akan bangkit untuk menebus kekecewaan tersebut sekali gus membuat Kelantan kempunan lagi untuk menjulang Piala FA pada tahun ini setelah kecundang kepada Selangor pada tahun 2009.

Misi yang berbeza pula diimpikan oleh Kelantan. Kekecewaan kita pada tahun 2009 mesti ditebus malam esok. Matlamat untuk menjulang Piala FA bukan angan-angan dan hangat-hangat tahi ayam semata-mata. Bahkan pada tahun ini, kita sasarkan kedua-dua PIala FA dan Liga Super untuk mencipta rekod baru. Itulah semangat perjuangan sebenar TheRedWarriors.

Walaubagaimanapun, Kelate The Red Warriors (pemain dan juga penyokong) disarankan tidak terlalu yakin dan berpuas hati dengan prestasi sekarang. Kemenangan 3-0 ke atas Terengganu tempoh hari bukanlah tanda ukur untuk perlawanan malam esok. Apa-apa pun boleh terjadi. Jika sebelum ini kita sudah pun menunaikan solat hajat dan doa untuk capai kemenangan, tiada yang lebih dapat kita berikan kepada skuad negeri kita selain memberikan sokongan padu tidak kira apa keputusan sekalipun.

Penyokong setia diseru untuk tidak melakukan sebarang aksi yang memalukan imej Negeri Kelantan. Tindakan sedemikian rupa bukan sahaja menjatuhkan maruah Kelantan, bahkan akan menyebabkan moral pemain TheRedWarriors terbantut. Kita bermain selama 90 minit dan 90 minit itulah kita harus bersama pasukan. Kehadiran Ultras sedikit sebanyak akan membantu. Dan jangan kita sesekali memberi peluang kepada pihak media untuk memburukkan lagi imej kita.

Terengganu dan Kelantan ibarat adik-beradik. Jadi sebarang ketidakpuashatian sesetengah individu hendaklah dielak 100%. Sokonglah dengan sokongan yang professional. InsyaAllah kita akan jadi juara.

Saksikan secara live di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam esok, 11-June-2011 ataupun di Astro Arena. Kelantan vs Terengganu. Final Piala FA 2011. Dengar Lagu Semangat Dikir Barat Kelate sempena Piala FA 2011 untuk menaikkan lagi spirit pada male esok..

Kelate The Red Warriors! We respect all but fear none!

Monday, June 6, 2011

Kontroversi Bola Sepak Kelantan

Baru sahaja malam ini kita menundukkan Terengganu, belum puas menikmati kemenangan.. Sudah pun timbul pelbagai kontroversi atau boleh dikatakan politik dalam bola sepak Kelantan, Terengganu khususnya dan Malaysia amnya. Kontroversi mula timbul apabila sekarang ini kecoh diperkatakan terdapat pelbagai isu dalam setiap pasukan terutamanya isu yang dikaitkan dengan isu rahsuah.

Persoalannya, berasaskah setiap dakwaan tersebut? Amat bercelaru dan tidak patut rasanya apabila isu-isu sebegini dibangkitkan. Terutamanya apabila kita sudah hampir untuk menutup tirai Liga Super dan Piala FA.

Lebih malang dan menyedihkan lagi, isu ini dikaitkan dengan 2 pasukan yang bakal beraksi di pentas akhir Piala FA 11-June nanti. Tidak lain dan tidak bukan, team kesayangan kita, Kelate The Red Warriors dan Terengganu. Kemenangan pada malam ini dikatakan sengaja dijual oleh Terengganu kerana bagi mereka aksi akhir Piala FA adalah lebih penting. Kelantan dibayar untuk kalah supaya Terengganu dapat menghadiahkan kemenangan kepada Duli Yang Maha Mulia YDP Agong Sultan Mizan Zainal Abidin sempena Hari Keputeraan Baginda. Bak kata pepatah ia akan jadi perlawanan timbal balik.

Siapakah pihak yang terlibat menyebarkan spekulasi ini? Jika benar, SPRM hendaklah menyiasat serta merta. Kepada pihak yang menyebarkan informasi ini, jika betul, baiklah tampil ke depan beserta bukti untuk menerangkan segalanya. Tidak perlulah menyebarkan maklumat sebegini. Apa motif disebaliknya? Kerancakan bola sepak tanah air khususnya Kelantan bakal hancur berkecai dengan isu sebegini. Kita sudah lihat betapa bersungguhnya pemain kita berjuang demi Kelantan. Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa juga menangkis habis-habisan dengan kenyataan yang timbul secara kebetulan ini.

Memang benar, isu yang dipermainkan logik difikirkan akal. Namun perkara sebegini sebenarnya bakal meruntuhkan semangat juang penyokong The Red Warriors. Semangat kental untuk menyaksikan perlawanan akhir ini juga mungkin akan terbantut disebabkan anggapan ini. Semuanya terjadi secara kebetulan. Sudah tentu ada pihak yang mengambil kesempatan.

Selaku penyokong setia Kelantan, kami tuntut dan ingin laungkan kemenangan. Selagi perjuangan belum berakhir, pantang kita kalah. Kami ingin The Red Warriors buktikan bahawa segala kontroversi tersebut hanyalah kontroversi semata-mata. Tidak ada cara lain selain menundukkan Terengganu pada aksi akhir Piala FA nanti. Jika kalah, mungkin bukan rezeki kita. Kalah dan menang adat perlawanan. Siapa yang hebat akan menjulang piala. Namun kemenangan pada malam ini sudah membuktikan bahawa kita adalah Juara. Jika di Terengganu kita boleh tundukkan Terengganu, kenapa tidak di Stadium Kita, Stadium Nasional Bukit Jalil?

Maine comey.. Sokonge comey.. Kawal emosi, Elakkan KONTROVERSI!

Kelantan Benam Ego Terengganu

Terlebih dahulu syabas dan tahniah diucapkan kepada Kelantan yang telah berjaya menundukkan Terengganu dengan kemenangan bergaya dengan jaringan agak besar, 3-0. Kemenangan ini lebih manis lagi apabila Kelantan berjaya menyangkal pelbagai dakwaan bahawa sukar untuk menewaskan Terengganu memandangkan rekod mereka lebih baik berbanding Kelantan pada masa ini. Buktinya rekod tersebut bukanlah segalanya. Apa-apa pun boleh terjadi dalam arena bola sepak dalam negara mahupun luar negara.

Berkunjung ke Terengganu dengan harapan untuk menang sudah pun menjadi kenyataan. Debaran dan teka-teki sudah terjawab. Ternyata percaturan yang dirancang oleh Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu menjadi. Syabas juga untuk beliau.

Gol malam ini dijaringkan oleh Izuan Salahuddin pada minit ke-10 dan penjaring berbisa Kelantan dan Malaysia, Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-73 dan masa tambahan minit ke-92. 3 gol cukup untuk membuktikan kehebatan Kelantan. Bukan calang-calang untuk menewaskan Terengganu lebih-lebih lagi ketika beraksi di stadium Terengganu.



Kejayaan manis pada malam ini diharap akan menjadi pembakar semangat buat player The Red Warriors untuk bermain dengan bersungguh-sungguh pada aksi perlawanan akhir Piala FA 11-June nanti. Masih terlalu awal untuk menobatkan Kelantan sebagai Juara Liga Super musim ini, baki 2 perlawanan akan menentukan siapa juara. Selangor yang turun terlebih garang malam ni membelasah Perlis 7-1 turut mengimpikan Piala daripada Kelantan. Terengganu juga masih mempunyai harapan. Semuanya akan berubah jika berlaku sebarang kesilapan oleh Kelantan.

Seterusnya perlawanan yang akan menjadi tumpuan, Perlawanan Akhir Piala FA 2011 akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11-June nanti. Sama-samalah kita penyokong setia Kelantan membanjiri stadium untuk menyaksikan perlawanan paling berprestij di musim ini.

Sunday, June 5, 2011

Habuan Tanah untuk The Red Warriors

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) bersedia untuk memberikan ganjaran berupa lot tanah untuk membina rumah kepada semua pemain The Red Warriors sekiranya berjaya menjulang dua lagi piala iaitu Piala Liga Super dan Piala FA musim ini.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, tanah bernilai RM50,000 setiap lot itu sebagai ganjaran membolot lima kejuaraan selepas berjaya membawa pulang Piala Malaysia, Piala Sumbangsih dan Piala Emas Raja-Raja.

Menurutnya, Kelantan mencipta sejarah besar bola sepak tanah air sekiranya berjaya muncul meraih lima kejuaraan itu.

“Saya mengingatkan pemain bahawa saingan kali ini bukan perkara biasa kerana kita dalam usaha merangkul lima kejuaraan,” katanya ketika mengiringi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datul Seri Mustapa Mohamed meninju latihan skuad Kelantan di Padang Mardi, dekat sini, kelmarin.

Lot tanah sumbangan peribadi beliau dan Kafa menurutnya, ditempatkan dalam kawasan dibangunkan sebagai pusat bola sepak.

Menurutnya, mini stadium, padang latihan, akademi bola sepak dan kemudahan lain disediakan berhampiran penempatan pemain.

“Ia mungkin menjadi The Red Warriors Villa dan ia akan dikenang sampai bila-bila hasil kejayaan cemerlang dan melakar sejarah besar dalam arena bola sepak negara,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, maklumat terperinci mengenai pembinaan kawasan itu masih dirahsiakan.

“Apa yang penting ketika ini ialah memburu Piala FA dan Liga Super, itu matlamat kita dan harapan seluruh rakyat dan kita tidak mahu kecewa,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Bakal Beraksi Tanpa Khairul Fahmi

Kelantan akan turun menentang Terengganu malam esok tanpa khidmat Khairul Fahmi. Ketiadaan Khairul Fahmi merisaukan sebilangan penyokong Kelantan namun Datuk M Karathu tidak melihat ia sebagai sebab Kelantan tidak akan beraksi cemerlang malam esok. Seboleh-bolehnya beliau tidak mahu kehilangan khidmat Khairul Fahmi dalam aksi genting nanti, namun khidmat untuk negara adalah lebih penting.

Khairul Fahmi terpaksa meninggalkan Kelantan untuk menyertai skuad Olimpik negara menentang Kemboja pada Selasa ini. Kekosongan penjaga gol Kelantan dijangka bakal diisi oleh penjaga gol simpanan Kelantan, Shahrizan Ismail. Rentak permainan mungkin berubah namun inilah adat bola sepak. Sesebuah kumpulan tidak akan selalunya akan menurunkan kesebelasan utama jika berlaku kecederaan, pergantungan perlawanan dan sebagainya.

Tumpuan penuh pemain Kelantan amat ditagih. Aksi konsisten bakal menentukan siapa juara terbaik. 2 buah piala penting pada musim ini perlu kita miliki andai kita ingin mencatat sejarah baru, 5 buah Piala berturut-turut seperti post Tan Sri Annuar Musa dalam facebooknya, baca balik dalam post sebelum ini.

Diharap pasukan The Red Warriors mampu menundukkan ego Terengganu di stadium lawan malam esok. Astro Arena bakal menyajikan aksi secara live, Kelantan vs Terengganu untuk aksi Liga Super 2011. Doakan kejayaan semoga jadi milik kita. InsyaAllah..

Petik cikik kato lagu semangat kito..

Olek-olek-olek-olek..
Sumbat gol.. Sumbat gol..
Olek-olek-olek-olek..
Sumbat gol.. Sumbat gol..

Kito anok Kelate..
Bako ore berani..
Bilo masuk pade..
Kito gomo sengoti..
Kito gomo sengoti...

Gomo KELATE Gomo!!!

Saturday, June 4, 2011

Kelantan Cipta Sejarah Jika...

Mengulas kembali petikan Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dalam ruangan facebooknya, Kelantan akan cipta sejarah jika berjaya memenangi Piala FA dan Liga Super musim ni.. Menurut beliau, tidak pernah lagi dalam sejarah Malaysia, mana-mana pasukan memenangi 5 buah piala berturut-turut. Jika itu mampu dilakukan Kelantan, maka rekod baru dan sejarah akan tercipta..

Petikan tulisan Tan Sri adalah seperti berikut:


"Ketahuilah bahawa sekiranya kita memenangi kedua dua juara LIGA DAN FA bererti KELANTAN cipta sejarah menjadi antara yg pertama merangkul 5 piala in a row…msia cup,gold cup,charity SAS cup,..SUPER LEAGUE N FA CUP..yg sy rasa belum di cipta mana2 negeri..SEKIRANYA INI TERCIPTA MEREKA WAJAR MENERIMA SATU ANUGERAH(YG telah sy maklum pd mereka)yg besar nilainya..SAYA sendiri Dan kafa akan memberikan hadiah itu .."

Sebelumnya Tan Sri menyifatkan Kelantan bakal berhadapan dengan team yang kuat dari banyak aspek, justeru kita perlu bermain habis-habisan untuk mencipta rekod. Tiada apa yang mustahil. Prinsip TheRedWarriors, we respect all but fear none.. Semoga Piala FA dan Liga Super milik kita untuk tahun ini.. InsyaAllah..

"Harus diingat TRW bakal bertemu satu pasukan yg paling mantap musim ini..paling kukuh kewangannya..paling kanan pengurusannya..paling lama teamworknya..dan antara yg paling ramai Pemain kebangsaannya Dan top scorernya..melepas gol paling rendah dan jaringan antara paling Tinggi..Dan kita terpaksa bertandang ke lamannya…INILAH CABARAN..HANYA YG TERBAIK AKAN MENANG DAN TRW MAHU MUNCUL YG TERBAIK ITU..!!"

Thursday, June 2, 2011

Sesi Latihan RedWarriors Kembali

Gap yang boleh dikatakan agak lama, diharap dimanfaatkan sepenuhnya oleh barisan pemain The Red Warriors dan jurulatih Kelantan. Datuk M Karathu memanggil semula untuk sesi latihan untuk perlawanan penting menentang Terengganu 6-June dan 11-June nanti. Semestinya semua pemain akan melepaskan penat sepuas-puasnya selepas jadual perlawanan yang begitu ketat sebelum ini.

Sesi latihan kali ini seperti biasa walaupun dengan ketiadaan 3 pemain utama The Red Warriors iaitu Mat Yo, Chanturu dan Farisham yang ketika ini dipanggil untuk menyertai sesi latihan bersama skuad kebangsaan. Biarpun dengan ketiadaan mereka, Datuk M Karathu masih lagi positif dan berkeyakinan untuk menundukkan Terengganu nanti. Itulah yang kita mahukan. Dengan ruang yang ada sebelum ini, Datuk M Karathu telah memanfaatkan sebaik mungkin untuk mencongak strategi Irfan Bakti. Kalah menang lain cerita, janji kita buat yang terbaik untuk menjulang Piala.

Kita sebenarnya berada di landasan yang paling baik berbanding Terengganu biarpun pelbagai undian memilih mereka untuk menjulang piala pada tahun ini. Sokongan padu kita teruskan selagi ada masa. Kalah dan menang adat perlawanan. Kita kena terima seadanya. Namun agak susah bagi kita untuk terima kekalahan. Itulah semangat pejuang yang sejati.. Pantang berundur selagi perjuangan belum berakhir..

Berkunjung ke stadium Terengganu 6-June nanti, pastinya stadium akan dipenuhi lautan putih. Diharap semangat juang The Red Warriors tidakkan luntur berhadapan dengan situasi itu nanti. Selamat berjuang...

Wednesday, June 1, 2011

Terengganu Bakal ke Eropah, Kelantan?

Mengulas laporan Kosmo pada hari ini, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan ganjaran besar yang bakal dimiliki oleh pemain Terengganu sekiranya berjaya merampas 2 buah piala yang turut diidamkan Kelantan. Terengganu bakal disajikan dengan lawatan ke negara-negara Eropah sekiranya berjaya menewaskan Kelantan dalam Final Piala FA dan Liga Super 2011 nanti.

Ganjaran tersebut pasti akan menaikkan lagi semangat pemain Terengganu untuk memenangi 2 buah piala besar tersebut. Inilah politik bola sepak tanah air yang sentiasa berlaku apabila berada di saat genting. Apa-apa pun, tahniah kepada Terengganu. Kita hormati matlamat dan semangat perjuangan mereka untuk menjulang Piala FA dan Liga Super.

Jika Akhir Piala Malaysia, pemain Kelantan dihadiahkan dengan lawatan umrah ke Mekah, bagaimana pula dengan tahun ini? Masih dalam tanda tanya. Ada ke tidak? Pastinya ada akan tetapi masih dirahsiakan.. Itulah yang menjadi tanda tanya. Pihak pengurusan pastinya akan berbuat sesuatu untuk memastikan piala milik kita. Bukan sahaja ganjaran kepada pemain, malah kepada peminat setia yang selama ini tidak pernah jemu menyokong pasukan kesayangan, The Red Warriors.

Dengan harapan dan matlamat yang jelas, tinggal hari perlawanan sahaja untuk kedua-dua pasukan bermain mati-matian. Aksi perlawanan berkualiti dan kekuatan sebenar akan dapat disaksikan pada malam perlawanan akhir nanti. Sama-samalah kita doakan pasukan kesayangan kita berjaya membawa pulang piala ke tanah air, Kelate kito...