Keputusan Terkini

Kelantan 0 vs JDT 3 (2 Sep 2014)... Pulau Pinang 1 vs Kelantan 3 (29 Aug 2014)... Kelantan 1 vs ATM 2 (26 Aug 2014)... ATM 0 vs Kelantan 3 (23 Aug 2014)... Kelantan 3 vs Pulau Pinang 1 (19 Aug 2014)... JDT 1 vs Kelantan 0 (13 Aug 2014)...

Thursday, May 17, 2012

Lega Dapat 10,000 Tiket Tambahan

TAMBAHAN 10,000 tiket diberikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melegakan penyokong Kelantan yang semakin bersemangat menyaksikan final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Ini berikutan 30,000 tiket yang diperuntukkan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak mencukupi untuk menampung jumlah kehadiran besar penonton dari negeri ini.

Timbalan Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.net), Mahizi Mahmood berkata, berdasarkan pengalaman setiap final membabitkan pasukan The Red Warriors, jumlah kehadiran penyokong negeri itu lebih ramai berbanding lawan.

“Tiket disediakan kepada Kelantan tidak mencukupi untuk menampung permintaan penyokong dan tambahan 10,000 lagi tiket oleh FAM seperti diumum kelmarin melegakan penyokong dan kami harap tidak ada masalah mendapatkan tiket bagi menyaksikan perlawanan ini,” katanya. Daripada jumlah itu, 12,000 tiket sudah habis ditempah selain 10,000 dikhususkan untuk penyokong Kelantan di Kuala Lumpur manakala 8,000 lagi dijual di kaunter Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Metro.

Karathu Yakin Hodak Mampu

BEKAS jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu menganggap Bojan Hodak berpeluang merealisasikan impian The Red Warriors untuk menjulang Piala FA bersandarkan kepada kekuatan barisan pemain sedia ada yang disifatkannya berada dalam kelas tersendiri.

Karathu yang pernah membimbing Kelantan pada 2011 selain berjaya membantu negeri itu merangkul kejuaraan Liga Super 2011 yakin The Red Warriors berpeluang menamatkan penantian menjulang Piala FA selepas tiga kali layak ke final iaitu pada 2009, 2011 dan tahun ini.

Karathu berkata, dengan barisan pemain dimiliki Kelantan pada musim ini, Hodak tiada masalah untuk merancang strategi menghadapi Sime Darby apatah lagi dengan kehadiran pemain import yang menguatkan lagi pasukan.

Secara peribadi, Karathu menyifatkan kehadiran pemain import dari Lubnan, Mohamad Ghaddar yang digandingkan dengan Norshahrul Idlan Talaha menghasilkan kesan positif kepada Kelantan selain beberapa pemain seperti Norfarhan Mohamad dan Indra Putra Mahayuddin turut menyengat dalam saingan Piala FA “Hodak berpeluang membawa pulang Piala FA untuk Kelantan dengan barisan pemain dimilikinya dan saya percaya dengan rekod cemerlang dicapai sepanjang musim ini, ia memberi kelebihan kepada Kelantan untuk menang final ini.

“Jika sebelum ini Kelantan layak ke final, dengan pemain sedia ada, kali ini termasuk beberapa pemain import, kekuatan pasukan itu semakin mantap,” katanya yang meramalkan Kelantan bakal menewaskan Sime Darby, 2-1.

Metro.

Sekang Mata Siapkan Wau Gergasi & Potret

SERAMAI 400 ahli Ultras Kelantan The Red Mania (UKTRM) bersengkang mata secara bergilir-gilir selain berkampung di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu sejak seminggu lalu untuk menghasilkan wau bulan gergasi dan potret 12 wajah pemain Kelantan termasuk ketua jurulatih, Bojan Hodak sebagai tanda sokongan terhadap pasukan itu yang akan beraksi di final Piala FA, Sabtu ini.

Ahli UKTRM, Amran Pulse, 29 berkata, dia bersama 400 lagi ahli UKTRM berkampung sejak 9 Mei lalu untuk menyiapkan koreograf atau tifo berbentuk wau bulan bersaiz 10x12 meter secara bergilir-gilir.

Katanya, selain wau bulan, UKTRM turut menghasilkan tifo potret 12 wajah pemain termasuk jurulatih sebelum dibawa ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, nanti.

“Kami tidur di pekarangan stadium selama tujuh hari tujuh malam untuk menyiapkan tifo ini dan kerja mengecat dilakukan secara bergilir-gilir oleh ahli UKTRM.

“Ini sebahagian daripada tanda sokongan UKRTM kepada pasukan Kelantan yang layak ke Final Piala FA tahun ini,” katanya yang menjangkakan tifo itu dijangka siap semalam dan akan dibawa ke Bukit Jalil pada hari perlawanan.

Menurutnya, bagi menghasilkan tifo itu, UKTRM membelanjakan RM3,000 dan menggunakan lebih 200 meter kain.

Metro.

"Elak Duka Berulang"

“DETIK itu masih terbayang di ingatan, namun saya tidak mahu tragedi sama berulang kali ini,” kata pertahanan Kelantan, Mohd Daudsu Jamaluddin, 27, yang tertanduk bola ke gawang sendiri untuk gol penyamaan Terengganu di penghujung perlawanan sebelum skuad Kijang akhirnya tewas 1-2 kepada Terengganu pada masa tambahan perlawanan akhir Piala FA tahun lalu.

Penyokong The Red Warriors pasti masih mengingati kekalahan mengecewakan itu kerana mereka begitu hampir untuk muncul juara dalam tempoh masa sebenar perlawanan, namun nama Mohd Daudsu tetap di hati peminat apabila ramai yang menyebelahinya. Ia dibuktikan menerusi kewujudan laman khas di facebook dengan pelbagai tajuk, antaranya ‘100,000 rakyat Kelantan tak salahkan Daudsu atas kekalahan Kelantan’, ‘Jangan salahkan Daudsu okay’, ‘Maafkan Daudsu’ dan ‘Bukan salah Daudsu’.

Mohd Daudsu pula segera meminta maaf atas kesilapannya itu dan disiarkan di beberapa akhbar utama.

Pemain yang mendapat jolokan ‘kereta kebal Kelantan’ itu berkata, meskipun hampir setahun berlalu, dia belum melupakan tragedi itu tapi pada perlawanan akhir Piala FA menentang Sime Darby FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini, dia membulat tekad untuk menjadi benteng paling kebal buat The Red Warriors.

Katanya, bagi memastikan peristiwa sama tidak berulang, dia akan lebih berhati-hati kerana tidak mahu mensia-siakan peluang menjulang Piala FA untuk kali pertama selepas tiga kali layak ke final pada 2009, 2011 dan tahun ini.

“Saya tidak mahu ia berulang dan akan cuba yang terbaik ketika mempertahankan benteng pasukan.

“Ini peluang ketiga Kelantan untuk menjulang satu-satunya piala yang belum diperoleh dan saya harap rakan sepasukan bekerja keras untuk memastikan kami menang,” katanya.

Menurutnya, bukan tugas mudah bagi seorang pemain pertahanan mengekang asakan lawan kerana memerlukan kemahiran dan keupayaan membaca pergerakan lawan. “Saya akan gunakan segala pengalaman yang ada. Setiap pemain mempunyai kebolehan tersendiri namun kita masih perlu bekerjasama dengan rakan sepasukan dan saya tidak akan membiarkan lawan melepasi benteng dengan mudah,” katanya.

Metro.

Usah Perlekeh Lawan: Fahmi

KEMAMPUAN pasukan berstatus kelab, Sime Darby FC melangkah ke final Piala FA bertemu Kelantan mencetuskan suasana luar biasa sekali gus timbul teka-teki apakah kekuatan sebenar pasukan yang beraksi di Liga Perdana itu.

Perkara sama turut bermain di kotak fikiran penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat menjelang final di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

“Bila dapat melangkah ke final dan berjaya mengharungi semua halangan, bermakna ada sesuatu yang istimewa mengenai Sime Darby,” katanya ketika ditemui selepas diperkenalkan sebagai duta jenama makanan ringan, Mister Potato bersama-sama Mohd Safee Sali serta bintang muda, Muhamad Nazmi Faiz Mansor.

Justeru, penjaga gol skuad negara itu menuntut rakan sepasukan supaya mengekang ancaman lawan mereka itu jika mahu memenuhi impian menjulang Piala FA.

“Kami tidak boleh memandang rendah kemampuan Sime Darby kerana apa saja boleh berlaku pada perlawanan sebenar.

“Yang penting kami perlu terus melakukan persiapan rapi, kekal fokus dan mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan akhir,” katanya.

Final Piala FA kali ini dilihat lebih terarah kepada Kelantan yang pastinya mahu menebus kekecewaan pada dua final berturut-turut sebelum ini selepas tewas kepada Selangor, dua tahun lalu dan Terengganu, musim lalu.

Metro.

Sime Darby Tidak Peduli Rekod Kelantan

REKOD cemerlang Kelantan sepanjang musim ini langsung tidak menghadirkan rasa gerun pengendali Sime Darby FC, Ismail Zakaria menjelang pertemuan anak buahnya dengan gergasi Pantai Timur itu pada final Piala FA, Sabtu ini.

Ketika Kelantan dilihat terus konsisten pada saingan liga musim ini serta mempunyai koleksi deretan kejuaraan, skuad bimbingan Ismail tewas dua perlawanan pada saingan Liga Perdana sekali gus mencetuskan persoalan mampukah mereka menangani serangan bertali arus Kelantan nanti.

Namun, Ismail tidak mahu ambil pusing dengan rekod gah lawan mereka itu sebaliknya lebih memandang ke hadapan dengan menyatakan prestasi pada perlawanan sebenar nanti adalah lebih penting.

“Bagi saya, rekod tidak berapa penting tapi yang lebih penting ialah prestasi kami pada perlawanan sebenar.

“Saya cuma harap pemain mengikut rentak permainan yang dirancang ketika sesi latihan pada perlawanan Sabtu ini,” katanya yang tidak risau dengan dua kekalahan pada saingan liga sebelum ini.

Ismail juga tidak mahu meletakkan sandaran sepenuhnya di bahu pemain import, Patrick Ronaldinho Wleh bagi mengemudi jentera serangan pasukannya apabila bertemu Kelantan nanti.

“Jika berlaku apa-apa kepada Patrick, saya masih ada pilihan lain untuk menjana bahagian serangan. Ini (jentera serangan) bukan masalah utama,” katanya.

Metro.

Wednesday, May 16, 2012

Keputusan Kelantan vs PKNS 3-0, Game 16 Liga Super 2012

Seperti dicongak, prestasi semasa Kelantan yang cukup kemuncak, Kelantan sekali lagi menang bergaya dengan jaringan agak besar 3 gol tidak berbalas.

Dengan persiapan rapi dan motivasi yang tinggi, Kelantan yang turun menghadapi PKNS tidak berdepan sebarang masalah untuk mematahkan setiap serangan lawan malah terus konsisten dengan penyudah yang cantik dan berkualiti.

Gol pertama Kelantan dijaring oleh Mat Yo, menerusi gelecekan cantik dihadapan pintu gol untuk mengelirukan pertahanan PKNS dan penjaga gol.

Gol kedua dijaring oleh Obinha menerusi tandukan cantik hasil sepakan percuma membuktikan Obinha semakin berbisa dalam menyambut hantaran sepakan percuma dan sepakan penjuru apabila semakin kerap mencatat nama penjadi penjaring menerusi sepakan bola mati.

Gol ketiga dijaring oleh Abe Ghaddar menerusi gerakan solo seperti yang beliau sentiasa lakukan. Kelajuan, kekuatan dan ketajaman penyudah Mat Ghaddar memang tidak boleh dinafikan lagi walaupun dilihat suka bergerak solo dan agak malas mengejar bola. Namun Ghaddar harus diawasi lawan kerana beliau mampu menyudahkan setiap peluang yang terhidang.

Video:


Dengan itu, Kelantan semakin rapat mengejar Lions XII yang sekarang ini berada dipuncak namun dengan kelebihan 5 game tapi beza hanya 4 mata.

Dengan prestasi sekarang, Kelantan berada dilandasan yang tepat untuk sekali lagi bergelar Juara Liga Super 2012. Gomo Kelate Gomo!

Cabaran Paling Besar The Red Warriors

PENGURUS Kelantan, Azman Ibrahim menganggap final Piala FA 2012 sebagai cabaran paling besar Red Warriors pada percubaan ketiga membawa pulang piala itu ke negeri ini.

Beliau mengakui kegagalan dua kali pada 2009 dan 2011 cukup memeritkan kerana belum pernah menggenggam piala itu dalam kempen Liga M.

“Apabila Kelantan sekali lagi melangkah ke pentas final Piala FA 2012, kami tekad menggenggam piala itu kerana kegagalan dua kali cukup mengecewakan.

“Kami mahu menjadikan 2012 satu realiti menjuarai Piala FA yang terlepas pada 2009 dan 2011,” katanya di Kota Bharu, semalam.

Azman yang juga Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) melihat pasukannya berada pada landasan terbaik merealisasikan impian itu tapi tidak menganggap mudah cabaran pasukan lawan berstatus kelab, Sime Darby FC di pentas final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Katanya, pemain Kelantan memulakan sesi latihan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, semalam bagi memantapkan persiapan pasukan sebelum aksi final, Sabtu ini. “Kami mempunyai masa lima hari memperkuatkan pasukan dengan misi sebelum berdepan Sime Darby di final. Saya harap pemain sudah bersedia menggalas tanggungjawab dengan baik nanti.

“Harapan Kelantan cukup besar untuk menjuarai Piala FA dan saya yakin pasukan mampu mencapai kejayaan yang diimpikan pengurusan Kafa serta seluruh peminat bola sepak negeri ini,” katanya.

Metro.

Kelantan Jangan Alpa

PERLAWANAN akhir Piala FA menentang Sime Darby Sabtu ini, tidak boleh dipandang mudah dan pasukan Kelantan perlu berusaha memastikan kubu tidak mudah dibolosi penyerang import berbisa pasukan lawan dari Liberia, Patrick Ronaldinho Wleh.

Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek mahu rakan sepasukan berwaspada berdepan ancaman penyerang import itu yang mampu mengkucar-kacirkan kubu pertahanan.

“Pergerakan Ronaldinho perlu dikawal ketat barisan pertahanan kerana pemain itu mempunyai kemahiran penyudah tajam berbisa.

“Kami tidak memandang mudah pertemuan dengan Sime Darby sebaliknya lebih serius dalam misi muncul juara. Kami sedar pasukan itu banyak membuat kejutan apabila menewaskan Johor FC dan Terengganu untuk layak ke final Piala FA,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.

Sementara itu, pemain pertahanan Kelantan, S Subramaniam berkata, Kijang akan tebus kekecewaan final Piala FA 2010 dan 2011 selepas Red Warriors akur dengan kekalahan kepada Selangor dan Terengganu.

Katanya, barisan pemain pertahanan perlu mengunci pergerakan Ronaldinho tiada ruang buatnya membolosi gawang Kelantan.

“Saya percaya dengan kehadiran pemain import, Obina Nwaneri, dalam barisan pertahanan mampu menyekat kemaraan pemain itu,” katanya.

Metro.

Wednesday, May 9, 2012

Harga Tiket Perlawanan Akhir Final PIALA FA 2012

KUALA LUMPUR 3 Mei - Harga tiket bagi semua tempat duduk untuk perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan pasukan kelab Sime Darby pada 19 Mei ini ditetapkan sebanyak RM40.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Azzudin Ahmad berkata harga tiket itu telah diputuskan oleh Jawatankuasa Tiket dan Pintu FAM selepas mengambil kira pelbagai faktor.

Harga tiket itu tidak membebankan penonton dan terpulang kepada kemampuan masing-masing, katanya ketika dihubungi oleh Bernama hari ini.

Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM akan memutuskan venue perlawanan akhir itu minggu depan.

Ditanya penetapan harga tiket itu boleh mencetuskan kemarahan penonton, Azzudin berkata, keputusan untuk membeli tiket bergantung kepada penonton sama ada mereka sanggup membayar atau sebaliknya.

Pada perlawanan akhir Piala FA tahun lepas, harga tiket bagi tempat berbumbung ialah RM30 dan RM50 bagi pentas utama.

Pada tahun lepas, tindakan FAM menaikkan harga tiket kepada RM50 bagi perlawanan akhir Piala Malaysia antara Negeri Sembilan dan Terengganu telah menimbulkan kemarahan peminat sukan bola sepak di negara ini. - BERNAMA

Utusan.

Kelantan Langkah Ke Pusingan Kedua

KOTA BAHARU, (Bernama) - Kelantan mara ke pusingan kedua Piala AFC setelah berjaya menundukkan Ayeyawady United dari Myanmar 1-0 pada perlawanan terakhir kumpulan H di Stadium Sultan Muhammad IV malam ini.

Penyerang import dari Nigeria, Nwoha Onyekachi, menjadi wira apabila menjaringkan gol tunggal Kelantan.

Seawal minit kedua, Kelantan menunjukkan taring apabila Chanthuru Suppiah mendapat peluang keemasan menjaringkan gol, namun sepakannya ke gawang lawan tersasar.

Kelantan sekali lagi mendapat peluang pada minit ke-20 apabila memperoleh sepakan percuma di luar kotak penalti selepas bola terkena tangan pemain lawan, Sai Than Aung, namun sepakan Indra Putra Mahayuddin turut tersasar.

Pemain import Mohamad Ghaddar mengecewakan peminat Kelantan pada minit ke-32 apabila sepakan gunting yang dihantar Chanthuru Suppiah tersasar dan melepasi palang gol.

Kelantan diburu resah apabila pertahanannya berjaya ditembusi pihak lawan melalui gerakan solo Ngangue Jupiter Yves pada minit ke-38, yang melakukan rembatan kencang daripada kotak penalti, namun tersasar.

Seawal minit ke-46 pada babak kedua, Kelantan memecah kebuntuan apabila bola muntah hasil sepakan Mohamad Ghaddar, berjaya disudahkan pemain import Nwoha Onyekachi selepas berlaku kekalutan di depan pintu gol Ayeyawady United.

Ghaddar sekali lagi cuba menambah jaringan pada minit ke-56 melalui gerakan solo yang bermula dari tengah padang, namun sepakan yang dilakukannya tersasar.

Kelantan menduduki tangga teratas dalam kumpulan H dengan 13 mata selepas menang empat perlawanan, satu seri dan satu kalah.
Ayeyawady pula di tangga ketiga dengan tujuh mata selepas menang dua perlawanan, satu seri dan tiga kalah.

Senarai Pemain:

Kelantan: Khairul Fahmi Che Mat, Subramaniam Sooryapparad, Mohd Shakir Shaari, Mohd Nor Farhan Muhammad (Mohd Badhri Mohd Radzi), Indra Putra Mahayuddin, Mohd Daudsu Jamaludin, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Nwoha Onyekachi (Azlan Ismail), Mohamad Ghaddar, Chanthuru Suppiah, Zairul Fitree Ishak.

Ayeyawady United, Myanmar: Thiha Si Thu, Nay Lin Aung, Myo Zaw Oo, Aung Kyaw Myo, Nanda Lin Kyaw Chit, Min Min Thu, Sai Than Aung (Sithu Than), Naing Lin Oo, Miroslav Latiak, Karangwa John, Ngangue Jupiter Yves.

MyLaunchPad Sport.

Satu Mata Cukup Buat Kelantan

KELANTAN hanya perlu mengutip satu mata sahaja apabila turun menentang Ayeyawady United dari Myanmar di Kota Bharu malam ini untuk melayakkan diri ke pusingan kedua Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Bagaimanapun, pengendali The Red Warriors, Bojan Hodak tidak mahu anak-anak buahnya sekadar turun untuk mencari satu mata tersebut, sebaliknya mahu terus mempamerkan aksi sebenar pasukan.

"Kita akan cuba menang dalam semua perlawanan. Satu mata sepatutnya sudah mencukupi tetapi saya fikir jika anda bermain untuk seri mungkin anda akan tewas. Sudah tentu kita bermain untuk menang malam esok (malam ini).

"Kita sudah beraksi dalam 16 perlawanan dan hanya tewas sekali. Kita berada dalam momentum yang sangat baik ketika ini, satu lagi kemenangan malam esok (malam ini) mungkin menjadikan kita lebih baik," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar semalam.

Mengulas mengenai persediaan pasukan Kelantan, Bojan berkata, ia tidak berjalan dengan begitu lancar apabila sesi latihan kelmarin terganggu ekoran hujan lebat selain faktor keletihan ekoran jadual mereka yang agak padat.

"Menentang Lions XII tempoh hari kita sudah memberikan segala-galanya dan perlawanan malam esok (malam ini) juga memerlukan kita memberikan yang terbaik sekali lagi," ujarnya.

Katanya, fokus Kelantan kini adalah untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super dan perlawanan akhir Piala FA menentang Sime Darby FC pada 19 Mei ini dan tidak meletakkan sasaran yang tinggi untuk Piala AFC

"Mungkin kalau boleh saya katakan, pada dasarnya sasaran kita adalah Liga Super dan Piala FA. AFC bukan sasaran utama kerana kita menyertainya untuk mencari pengalaman, namun kita sudah berada di sini dan kita akan sentiasa melakukan yang terbaik untuk terus meraih kemenangan," jelasnya.

Kelantan kini sedang menerajui Kumpulan H dengan mengumpul 10 mata sambil diekori Navibank Saigon dan Ayeyawady United yang berkongsi tujuh mata, manakala Arema FC di tangga tercorot dengan empat mata.

Sementara itu, jurulatih Ayeyawady United, Josef Harel ternyata sudah dapat menggambarkan tentangan sengit yang bakal diterima pasukannya terutama Kelantan yang bakal disokong oleh puluhan ribu peminat mereka.

"Ia pastinya perlawanan yang sengit. Peluang kita di dalam Piala AFC ini cukup sempit tetapi kita bernasib baik kerana berjaya mendapat tujuh mata. Kita akan tengok apa yang berlaku malam esok (malam ini).

"Setiap perlawanan berbeza. Di Myanmar tempoh hari kita juga tidak menang dengan mudah.

"Kelantan adalah sebuah pasukan yang bagus kerana mereka mempunyai pemain yang berpengalaman tetapi kita akan cuba mendapatkan keputusan yang baik kali ini," katanya.
Kosmo!

Keputusan Kelantan vs Lions XII 3-0, Game 15 Liga Super 2012

KELANTAN DALAM KELAS TERSENDIRI!

PENGENDALI Kelantan, Bojan Hodak tidak mahu mendabik dada biarpun skuad kendaliannya berjaya menjinakkan pendahulu Liga Super, Lions XII 3-0 malam kelmarin.

Beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan jelas sekali berada dalam kelas tersendiri bagi membenam wakil Singapura itu.

Selepas gagal memecahkan kebuntuan gol pada babak pertama, Kelantan seakan-akan mendapat aura sebaik memulakan saingan pada babak kedua.

Hasilnya, tiga gol diperoleh skuad The Red Warriors itu dalam tempoh 20 minit terakhir perlawanan.

S. Chanturu membuka tirai jaringan Kelantan pada minit ke-73, sebelum Norfarhan Muhammad menyumbang gol kedua empat minit kemudian.

Tonggak pertahanan, Rizal Fahmi Rosid melengkapkan malam gemilang Kelantan apabila meledak gol ketiga pada minit ke-85.

“Siapa pemain terbaik malam ini? Ia suatu yang sukar. Pemain pertahanan begitu cemerlang, Shakir (Shaari) melakukan kerja dengan baik. Mungkin Farhan dan Chanturu lebih layak untuk dikatakan pemain yang beraksi dengan cemerlang.

“Bagaimanapun, saya tidak fikir tiga mata yang dipungut malam ini (malam kelmarin) membolehkan kami dilabel sebagai pasukan pilihan untuk bergelar juara.

“Namun dalam masa yang sama, kemenangan ini meletakkan kami di landasan yang betul untuk tujuan itu,” kata Hodak ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.

Hodak berkata, anak-anak buahnya berjaya mengambil kesempatan untuk memburu gol selepas menyedari barisan Lions XII agak keletihan.

“Setiap pasukan dalam dunia hanya boleh bermain selama 60 minit dengan kecergasan yang maksimum dan 30 minit terakhir mereka akan mula hilang fokus, letih dan melakukan kesilapan.

“Ketika 20 minit terakhir, saya lihat pemain Lions XII banyak memberi ruang kepada pemain saya dan akhirnya kami berjaya memanfaatkan situasi tersebut dengan tiga gol yang cukup penting,” ujarnya.

Pada aksi malam kelmarin, Kelantan tidak menurunkan tiga tonggak utama iaitu Muhammad Ghaddar, Zairul Fitree Ishak dan Daudsu Jamaluddin.

Ghaddar dan Zairul Fitree digantung satu perlawanan kerana mengumpul tiga kad kuning manakala Daudsu masih menjalani penggantungan kerana mengutip kad merah.

“Saya tidak melakukan rombakan besar malam ini (malam kelmarin), cuma memasukkan beberapa pemain yang saya fikir mampu menggalas tugas yang diberikan,” jelasnya.

Dengan kemenangan itu, Kelantan mengumpul 34 mata, ketinggalan dua mata di belakang Lions XII yang beraksi lebih tiga perlawanan berbanding The Red Warriors.

Kosmo!

Tuesday, May 1, 2012

Update Laluan Kelantan dan Sime Darby ke FINAL Piala FA 2012

Laluan Kelantan dan Sime Darby ke Pentas AKHIR - Piala FA 2012

Kelantan Meet Sime Darby in FA Cup FINAL!

KUALA LUMPUR, (Bernama) - Club side Sime Darby FC created Malaysian football history by qualifying for the FA Cup final after holding defending champion Terengganu to a goalless draw while Kelantan booked their spot in the final after edging Kedah on away goals rule.

Sime Darby who had beaten Terengganu 2-1 in the first leg semifinal at the Sultan Ismail Nasiruddin Shah Stadium in Kuala Terengganu, kept the East Coast side at bay to walk out with a goalless draw in the Selayang Stadium tonight.

Sime Darby, coached by Ismail Zakaria, becomes the first club side since 1990 to book a spot in the final while Selangor remains the team with the highest number of FA Cup wins, with five titles, followed by Kuala Lumpur (3) and Kedah (3) while Perak, Negeri Sembilan and Terengganu have two wins each.

In ALOR SETAR, Kelantan continued its fine run in the campaign by coming from behind to hold Kedah to a 2-2 tonight and advance to the final on the away goals rule since the aggregate score remained 3-3.

Kedah had pulled off a 1-1 draw at the Sultan Mohd IV Stadium during the first leg and looked headed to the final after taking a 2-1 lead but Kelantan import Mahmoud Ghadar scored the all important equalizer in the 60th minute to enable his team to advance.

Kedah had shocked Kelantan when Mohd Khyril Muhymeen Zambri struck twice in the 31st and 42nd minutes to give his team a 2-0 lead by half time.

However, just a minute after the restart, Kelantan reduced the deficit when Obinna Nwaneri rose high to nod in Indra Putra Mahyuddin's corner in the 46th minute before Ghadar's crucial strike.
Kedah could have given their home fans who had filled the Darul Aman Stadium to the brim, reason to cheer but Khyril Muhymeen muffed a good scoring opportunity in the final minute of the match.
The final will be played at the National Stadium in Bukit Jalil, Kuala Lumpur, on Saturday, May 19, 2012.

Laporan mylaunchpad sport.

Kelantan Bangkit ke FINAL!!!

KUALA LUMPUR, (D5) - Skuad The Red Warriors mempamerkan kebangkitan di Stadium Darul Aman apabila berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala FA selepas menewaskan Kedah menerusi kelebihan gol ditempat lawan.

Kedah tampak memiliki kelebihan selepas membawa kelebihan satu gol di Kota Bharu serta mendahului pasukan pelawat dengan dua gol pada separuh masa pertama.

Kedah selangkah mara ke final selepas penyerang utama mereka Khyril Muhymeen berjaya menjaringkan dua gol pada minit 32 dan 43.
Corak permainan Kelantan tampak lesu dan kurang menyerlah sepanjang separuh masa kedua berbanding skuad kendalian Wan Jamak Wan Hassan yang lebih menguasai permainan.

Kedudukan 2-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.
Masuk separuh masa kedua, anak buah kendalian Bojan Hodak mempamer kebangkitan dan mengatur serangan bertali arus ke arah kubu Helmi Eliza Elias.

Gols semangat Kelantan diperoleh tak sampai dua minit aksi separuh masa kedua menerusi tandukan pemain pertahanan Obinna Nwaneri yang bermula daripada sepakan penjuru.

Gol tersebut nyata menyuntik semangat pemain Kelantan yang mula menguasai permainan dan bermain lebih teratur berbanding Kedah yang gagal mengekalkan rentak pada separuh masa kedua.

Kealpaan pertahanan Kedah sekali lagi dihukum apabila penyerang import mereka Mohammed Ghaddar menyumbat penyamaan pada minit 77 sekaligus menambah tekanan buat Kedah kerana ketinggalan berdasarkan peraturan gol ditempat lawan.

Tersentak dengan aksi suram pemain Kedah, Wan Jamak membuat rombakan dengan membawa masuk V. Thirumurugan dan Muhammad Fiqry Mat Isa tetapi ia masih gagal untuk menembusi benteng Kelantan yang kebal pada separuh masa kedua.
Kelantan sebaliknya lebih bersemangat dan bermain dalam keadaan tenang serta sekali lagi menambah gol pada minit 77 menerusi Ghaddar tetapi mujur Helmi Eliza sempat menepis keluar.

Aksi Khyril Muhymeen tenggelam pada separuh masa kedua apabila pergerakkannya dikekang pertahanan Kelantan hingga menyukarkan dia bergerak di dalam kawasan pihak lawan.

Kedudukan 2-2 kekal hingga tamat permainan dan Kelantan mara ke final menerusi kelebihan peraturan kelebihan gol.
Lawan Kelantan pada final nanti ialah Sime Darby FC yang menewaskan Terengganu dengan keputusan agregat 2-1.

Laporan mylaunchpad sport.