Keputusan Terkini

Kelantan 0 vs JDT 3 (2 Sep 2014)... Pulau Pinang 1 vs Kelantan 3 (29 Aug 2014)... Kelantan 1 vs ATM 2 (26 Aug 2014)... ATM 0 vs Kelantan 3 (23 Aug 2014)... Kelantan 3 vs Pulau Pinang 1 (19 Aug 2014)... JDT 1 vs Kelantan 0 (13 Aug 2014)...

Saturday, July 21, 2012

Hodak Intai Pemain Mantapkan Skuad

JUARA Liga Super dan Piala FA musim 2012 ,Kelantan berminat mendapatkan beberapa pemain tempatan untuk memperkuatkan skuad The Red Warriors itu bagi mempertahankan Piala Malaysia apabila saingan bermula bulan depan.

Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak berkata, beliau telah menemui beberapa pemain daripada pasukan Liga Malaysia yang gagal layak ke Piala Malaysia bagi membantu pasukan Pantai Timur itu mempertahankan kejuaraan buat kali kedua.

"Saya masih berharap untuk mendapatkan khidmat beberapa pemain di luar Kelantan bagi membantu kami menjuarai Piala Malaysia musim ini," katanya ketika ditemui selepas pasukannya kalah 0-5 kepada pasukan Liga Perdana England (EPL), Queens Park Rangers (OPR) pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, Selangor malam kelmarin.

Mengulas penampilan sulung pemain import Guinea, Keita Mandjou pada perlawanan persahabatan itu, Hodak berkata, bekas penyerang Perak itu perlu bermain dalam beberapa perlawanan lagi bersama Kelantan sebelum beliau dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran bola sepak tempatan.

"Beliau (Mandjou) baru tiba dari India beberapa hari lalu selepas berakhirnya liga di negara itu. Saya tidak mahu memaksa beliau bermain pada tahap maksimum penuh," kata jurulatih berusia 41 tahun itu.

Selain Mandjou, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) juga mengikat empat lagi pemain import iaitu Mijo Dadic (Croatia), Dennis Antwi dan Emmanuel Okine, kedua-duanya dari Ghana, dan Zachariah Charara dari Lebanon.

Kesemua muka baru itu dibawa masuk untuk memantapkan pasukan Kelantan dalam menghadapi saingan suku akhir Piala AFC menentang Arbil FC dari Iraq pada September ini.

Kosmo!

Tuesday, July 17, 2012

Apek Sedia Pikul Tugas, Yakin Pertahan Gelaran

TIADA jalan mudah untuk skuad kebangsaan mempertahankan Piala AFF pada hujung tahun ini namun tidak mustahil untuk melakar sejarah menjulang kejuaraan sekali lagi.

Hakikat itu diakui penjaga gol utama negara, Khairul Fahmi Che Mat yang meramalkan saingan tahun ini lebih mencabar dengan setiap pasukan yang bersaing pasti menyimpan hasrat membalas dendam selepas kejayaan skuad negara menjulangnya buat kali pertama di Indonesia dua tahun lalu.

“Kami perlu bersedia kerana saingan pasti lebih sengit namun saya harap kami mampu mengekalkan kejuaraan ini. Kelebihan beraksi di tempat sendiri sebagai tuan rumah bersama perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk tidak menghampakan peminat tempatan yang pasti memberikan sokongan padu,” kata pemain yang turut menjulang Piala AFF dua tahun lalu.

Pada saingan yang dijadual November tahun ini, skuad negara yang berada dalam Kumpulan B diundi bersama Indonesia iaitu pasukan yang ditewaskan Malaysia di final dua tahun lalu selain musuh tradisi, Singapura serta naib juara pasukan dalam pusingan perlawanan kelayakan manakala Kumpulan A diketuai Thailand, Vietnam, Filipina dan juara pusingan kelayakan.

“Paling penting kami tidak boleh memandang rendah mana-mana pasukan yang bersaing termasuk pasukan yang tampil daripada pusingan kelayakan,” kata penjaga gol Kelantan berusia 23 tahun itu.

Dia turut menegaskan jadual padat yang bakal diharungi dirinya selepas ini tidak akan menjejaskan prestasi kerana sebagai pemain profesional penting untuk kekal fokus bagi mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan.

“Fokus adalah perkara utama. Saya akan menanganinya satu persatu walaupun ada tugasan penting bersama skuad kebangsaan dan Kelantan,” katanya yang menyertai skuad kendalian Datuk K Rajagobal semalam dengan aksi menentang Arsenal dan Manchester City selain latihan di luar negara.

Penjaga gol itu turut menjadi harapan membantu Kelantan menjulang Piala Malaysia dan melonjakkan Kelantan melepasi peringkat suku akhir Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada September ini.

Pada musim ini Khairul Fahmi memberikan komitmen penuh apabila membantu Kelantan menjulang Piala FA buat kali pertama selain mempertahankan kejuaraan Liga Super.

Laporan Metro.

Monday, July 16, 2012

3,500 Rai Wira Red Warriors

SELEPAS meraikan kemenangan menjulang piala Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV malam kelmarin, pasukan bola sepak Kelantan diberi pula sambutan sebagai wira oleh lebih 3,500 penyokong setia Red Warriors sebaik tiba di pekarangan Stesen Bas Ekspres Rantau Panjang, semalam.

Pemain dan pegawai pasukan termasuk Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang digantung, Tan Sri Annuar Musa disambut dengan laungan ‘Gomo Kelate Gomo’ sambil diiringi paluan kompang dan sorakan daripada penyokong.

Lebih membanggakan, trofi kemenangan berganda iaitu trofi Piala FA dan piala Liga Super itu diarak untuk tatapan umum. Majlis anjuran Umno Bahagian Rantau Panjang bersama Kelab Penyokong Bola Sepak TRW Rantau Panjang dan Pasir Mas itu dimeriahkan dengan kedatangan peminat tanpa mengira peringkat usia.

Annuar berkata, biarpun pemain Kelantan masih kepenatan, demi penyokong, mereka sanggup turun padang bersama trofi kemenangan.

Kuasa Baru Liga Malaysia

KEJAYAAN Kelantan mempertahan kejuaraan Liga Super 2012 selepas menjulang Piala FA buat kali pertama pada musim ini menandakan dinasti baru kuasa bola sepak sepak tempatan sudah beralih kepada gergasi Pantai Timur itu selepas mengetepikan saingan sengit beberapa pasukan tempatan dan kelab jemputan, LionsXII.

Bagi kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi, kejayaan mempertahankan kejuaraan Liga Super adalah istimewa dan bersejarah kerana bukan semua pasukan mampu melakukannya dengan saingan dan cabaran yang diberikan lawan pasti berbeza pada setiap tahun.

“Saingan tahun ini menuntut persembahan terbaik dipamer ke tahap maksimum pada setiap perlawanan. Selain terpaksa bersaing dengan Terengganu, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan, kami juga perlu menghadapi kelab Singapura, LionsXII.

“Namun kami sememangnya berada di landasan tepat pada musim ini. Mana-mana pemain yang berada dalam pasukan ini pasti mampu meraih kejayaan. Corak permainan kami kini sudah berada pada satu tahap yang lebih baik berbanding pasukan lain,” kata perancang tengah berusia 30 tahun itu yang kini memburu Piala Malaysia serta Piala Konfederasi Bola sepak Asia (AFC).

Kebangkitan Kelantan turut menandakan kemerosotan beberapa pasukan yang pernah digelar sebagai gergasi sebelum ini seperti Terengganu, Selangor dan Kedah walaupun setiap pasukan kini diperkuat kehadiran dua pemain import yang kembali mewarnai saingan liga tempatan.

Paling tenat adalah juara tiga piala dua tahun berturut-turut, Kedah yang kini perlu mengharungi aksi play-off untuk kekal dalam kancah utama liga bola sepak tempatan ini walaupun turut membariskan beberapa pemain kebangsaan.

Kehadiran pemain import pada musim ini dilihat turut memberikan impak positif terhadap bola sepak tempatan kerana lebih berdaya saing terutama membabitkan penyerang import yang pastinya mencabar peledak tempatan seperti Norshahrul Idlan Talaha dan Ahmad Shakir Ali untuk turut menempa nama.

Metro.

Saturday, July 14, 2012

Skuad Kelantan tidak sabar tunggu 20 Julai

PEMINAT kelab Liga Perdana Inggeris, Queens Park Rangers (QPR) dan juara Liga Super musim ini, Kelantan pastinya tidak sabar menunggu tarikh 20 Julai ini apabila kedua-dua pasukan ini bertemu dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam.

QPR yang dibawa khas oleh Air Asia dalam siri jelajah perlawanan pra-musim dan kunjungan pertama mereka ke Malaysia sudah pasti mahu menunjukkan kehebatan mereka di hadapan peminat bola sepak negara ini.

Apatah lagi, mereka akan berdepan skuad yang dikenali sebagai Red Warriors yang dinobatkan sebagai pasukan terbaik negara ketika ini.

Lebih menarik lagi, peminat berpeluang menyaksikan semua pemain kendalian Mark Hughes termasuk pemain baru mereka untuk diuji berdepan anak buah Bojan Hodak yang pasti mahu membuktikan keupayaan di hadapan penyokong tempatan.

Pasukan QPR membariskan pemain bertaraf dunia seperti Adel Taarabt, Bobby Zamora, Shaun Wright-Phillips, Anton Ferdinand, Rob Green dan Andy Johnson. Tumpuan pasti terarah kepada bintang baru kelab berkenaan dari Korea Selatan, Park Ji-Sung yang baru saja secara rasminya menyarung jersi kelab itu.

Pada masa sama, pasukan Red Warriors pula disifatkan sebagai pasukan bola sepak terbaik negara dan meraih pelbagai kejayaan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini malah turut mewakili Malaysia dalam Piala AFC yang berprestij.

Berbekalkan pemain seperti Norshahrul Idlan Talaha, Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd Badri Radzi, sudah pasti Kelantan mahu tampil gah di negara sendiri.

Justeru, bagi mereka yang ingin menyaksikan kehebatan aksi kedua-dua pasukan boleh mendapatkan Tiket boleh didapati secara online menerusi www.AirAsiaRedtix.com, rangkaian kedai Rock Corner iaitu di The Gardens ;Mid Valley, Mid Valley, KLCC, Subang Parade, The Curve dan One Utama selain rangkaian kedai Victoria Music iaitu di Sungei Wang, Amcorp, Tropicana dan BSC juga di KL Life Centre.

Tiket dijual pada harga RM33, RM53 dan RM73 bagi Tempat Duduk Bebas. Lebih istimewa, penganjur turut menawarkan tiket istimewa berharga RM72, RM92 dan RM112 yang disertakan dengan barangan eksklusif QPR selain tempat duduk VIP dan VVIP (menerusi jemputan) berharga RM103 dan RM203. AirAsia adalah Rakan Kelab Rasmi untuk QPR dengan logo syarikat penerbangan tambang murah itu akan tertera di semua pakaian QPR (gelanggang sendiri, lawan dan jersi ketiga) sepanjang musim EPL 2012/13.

Sebagai tambahan, barangan AirAsia QPR termasuk kemeja-T, bola dan topi akan dijual di gerai AirAsia di stadium ketika perlawanan persahabatan itu.

Perlawanan dijadualkan bermula jam 9.15 malam, Jumaat ini.

Metro Ahad..

The Red Warriors berpesta

JUARA Liga Super, Kelantan menampilkan aksi mantap pada babak kedua untuk menumpaskan Sarawak 3-1 pada perlawanan terakhir liga di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad bimbingan Bojan Hodak menutup saingan Liga Super musim ini dengan bergaya apabila mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya tahun lalu.

Skuad The Red Warriors berjaya mengumpul 60 mata, sekali gus meranapkan impian wakil Singapura, Lions XII untuk mencipta kejutan pada penampilan pertama dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Kemenangan tersebut cukup manis buat semua barisan pemain Kelantan apabila mereka menjulang trofi liga di hadapan 18,000 penyokong setia yang hadir memberikan sokongan pada perlawanan tersebut.

Pada perlawanan itu, skuad The Red Warriors yang sudah dinobatkan selaku juara liga tidak memberikan laluan mudah buat pasukan bimbingan Robert Albert apabila mempamerkan aksi bertenaga meskipun dihampakan dengan ketumpulan jentera serangan yang diketuai oleh Norshahrul Idlan Talaha.

Situasi sama turut berlaku kepada pasukan pelawat yang menyaksikan jentera serangan yang dikemudi tonggak import, Joel Epalle gagal memecahkan kebuntuan, sekali gus menyaksikan kedudukan separuh masa pertama berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Bersambung pada babak kedua, Sarawak yang dilihat cuba mendominasi perlawanan dikejutkan dengan jaringan pertama tuan rumah menerusi kapten, Mohd. Badhri hasil sepakan percuma pada minit ke-61.

Selang empat minit kemudian, Stadium Sultan Muhammad IV sekali lagi bergemuruh dengan sorakan penyokong apabila pemain sayap, Nor Farhan Mohammad meledakkan gol kedua tuan rumah.

Nor Farhan terus membuktikan ketajaman penyudahnya apabila meledakkan gol ketiga Kelantan selepas menerima hantaran ketua pasukan, Mohd. Badhri pada minit ke-67, sekali gus melengkapkan jaringan kedua peribadi.

Gol tersebut tidak menjejaskan rentak permainan pelawat yang akhirnya berjaya mendapatkan gol saguhati pada minit ke-69 menerusi Mohd. Hairul Moktar.

Keputusan 3-1 kekal berpihak kepada tuan rumah dan Stadium Sultan Muhammad IV bergemuruh dengan sorakan para penyokong setia Kelantan bagi meraikan kejuaraan mempertahankan trofi Liga Super buat kali kedua berturut-turut.

Kosmo!

Friday, July 13, 2012

Sejauh mana mutu bola sepak Malaysia?

Tahniah buat pasukan Kelantan kerana berjaya mengesahkan status mereka selaku paling hebat dalam kempen Liga Super musim ini.

Disebalik permulaan yang agak diragui pada awal kempen, The Red Warriors berjaya mengatasi ranjau mereka di bawah asuhan Bojan Hodak.

Di penghujung saingan Liga Super, saya lihat rata-rata peminat tidak kira daripada negeri mana, mengharapkan kejayaan mengiringi Kelantan kerana tidak rela untuk melihat Lions XII bergelar juara dalam pengenalan semula mereka.

Sepatutnya pasukan negeri mahupun kelab menilai semula perancangan mereka yang dibuat pada awal musim kerana sepertimana yang berlaku dalam musim-musim sudah, kebanyakkannya meletakkan sasaran tinggi, walhal pasukan mereka boleh dikatakan hanya setahun jagung.

Walaupun Lions XII sepatutnya bertanding atas tiket pemain 'remaja', seperti mana kita menghantar Harimau Muda A bertanding dalam Liga Singapura, tetapi itu bukanlah alasan tepat di atas kegagalan pasukan lain menyekat Lions XII sedangkan masing-masing dibenarkan khidmat pemain import.

Lions XII seperti memberi aura tambahan kepada kancah Liga M ini kerana setiap pasukan yang dihadapi mereka, pasti akan bersungguh-sungguh dan ternyata mereka begitu dicemburui.

Saya meragui semangat juang kebanyakkan pasukan kerana tidak banyak pasukan yang mampu beraksi konsisten seperti Kelantan. Dalam setiap pertandingan mereka akan memberikan aksi terbaik malah tidak mengecewakan dalam Piala AFC.

Liga M nampak seperti kompetitif tetapi sebenarnya belum cukup, saya bukannya mahu bersikap terlalu kritis tetapi saya juga tidak mahu menipu pembaca kalau memberi memberi kredit tidak munasabah.

Saya harap jurulatih pada masa akan datang lebih berani mengetengahkan permainan menarik walaupun saya sedar ianya mampu memberi risiko kepada kredibiliti anda kerana hakikatnya, anda dinilai berdasarkan keputusan.

Adakah kita perlu idea baru memandangkan muka yang sama sahaja dalam barisan kejurulatihan bola sepak Malaysia pada hari ini?

Lihatlah nasib Terengganu, Peter Butler masih gagal menjelmakan sentuhan magisnya walhal pemilihannya berdasarkan merit pengalaman di rantau ini.

Nampaknya Liga M masih perlu berusaha keras lagi kalau mahu memikat lebih banyak peminat di negara ini. Kalau tidak, Liga M akan terus kekal dalam liga kelas D...

Dipetik dari MLP.

Thursday, July 12, 2012

FAM setuju serah trofi Liga Super di Kota Bharu

PENYOKONG Kelantan boleh berpesta meraikan kejayaan pasukan mereka menjulang trofi Liga Super di gelanggang keramat, Stadium Sultan Mohammad IV di Kota Bharu esok apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersetuju menyerahkan trofi itu selepas tamat perlawanan Kelantan dengan Sarawak.

Keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM semalam selepas menilai surat rayuan yang dihantar oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Selasa lalu.

Ini pastinya perkhabaran gembira buat penyokong The Red Warriors yang sebelum ini tidak berpuas hati dengan keputusan FAM yang mahu mengadakan majlis penyerahan trofi Liga Super di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 20 Julai depan.

Selain itu ATM yang menjuarai Liga Perdana juga berpeluang mempamerkan trofi kejuaraan di depan penyokong sendiri malam ini sebaik tamat perlawanan terakhir menentang Pos Malaysia di Stadium Selayang.

Menurut Pengerusi JKPT, Datuk Hamidin Mohd Amin (gambar), keputusan itu dibuat atas dasar prihatin dengan rayuan yang dikemukakan oleh Kafa.

“Atas dasar prihatin, FAM bersetuju membenarkan Kelantan dan ATM menjulang trofi juara Liga Super dan Liga Perdana selepas perlawanan terakhir mereka. Naib Presiden FAM, Datuk Afandi Hamzah akan menyerahkan trofi Liga Super di Kota Bharu manakala Datuk Subahan Kamal akan menyerahkan trofi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

“Bagaimanapun hanya penyerahan trofi dan pingat diberikan pada majlis itu kerana wang ganjaran kepada pasukan serta anugerah penjaring terbanyak Liga Super dan Liga Perdana akan diserahkan di Wisma FAM, jam 3 petang Jumaat depan,” katanya.

Sementara itu, Hamidin yang juga Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengesahkan berjaya mengikat kontrak pemain muda Sabah, Rozaimi Abd Rahman secara pinjaman untuk mengharungi kempen Piala Malaysia September depan.

Metro!

Monday, July 9, 2012

Kelantan Dalam Kelas Tersendiri

“SAYA gembira membimbing Kelantan sekali gus membantu pasukan ini mempertahankan mahkota kejuaraan Liga Super buat kali kedua berturut-turut.”

Demikian luah pengendali The Red Warriors, Bojan Hodak sejurus pasukannya mencatatkan kemenangan besar dengan menumbangkan Perak 6-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, malam kelmarin.

Tanpa berselindung, Hodak mengakui dia gembira dengan semangat juang yang dijelmakan oleh barisan pemainnya sebaik sahaja wisel permulaan dibunyikan.

“Sebelum perlawanan saya ada memberitahu pengurus pasukan (Azman Ibrahim) bahawa pemain mahu menang dalam perlawanan ini seterusnya menghadiahkan kejuaraan liga sebagai bonus dan akhirnya mereka berjaya melakukannya dengan baik.

“Sepanjang membimbing Kelantan, saya lihat barisan pemain Kelantan telah menunjukkan corak permainan yang konsisten sejak dari awal hingga akhir perlawanan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Hodak memberitahu, untuk pertemuan dengan Felda United esok, beliau bakal kehilangan khidmat dua pemain utamanya iaitu Daudsu Jamaluddin dan ketua pasukan Mohd. Badri Radzi yang digantung perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning.

“Ditambah pula dengan kecederaan yang dialami oleh beberapa pemain utama, namun saya tetap akan mempertaruhkan barisan terbaik untuk menghadapi perlawanan tersebut,” ujarnya.

Selepas membantu The Red Warriors menjulang kejuaraan Piala FA buat kali pertama musim ini, pengendali kelahiran Croatia itu membuktikan sentuhannya semakin berbisa apabila membimbing Kelantan mempertahankan gelaran Liga Super yang dimenangi pada musim lalu.

Lebih menarik, kejuaraan untuk musim ini diraikan lebih awal, biarpun masih berbaki dua perlawanan sebelum saingan Liga Super melabuhkan tirainya pada Sabtu depan.

Kejayaan mempertahankan kejuaraan liga kali kedua berturut-turut meletakkan namanya selaku jurulatih asing pertama yang berjaya membimbing Kelantan menjulang dua kejuaraan dalam satu musim setakat ini.

Sementara itu, ketua pasukan Mohd. Badri Radzi memberitahu, kejayaan mempertahankan kejuaraan liga melonjakkan lagi semangat mereka untuk merangkul Piala Malaysia selepas ini.

Sumber: Kosmo!

Sunday, July 8, 2012

Video Kelantan vs Perak 6-0



Kelantan Defend Title!

KUALA LUMPUR, (Bernama) - Kelantan defended their Super League title after trouncing Perak 6-0 at the Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu.

Their 17th victory out of the 24 matches in the league enabled them to collect 57 points, seven points more than their closest rival, Lions XII from
Singapore who each have to more matches to play.

Kelantan is the third team to have succeeded in defending the trophy after Kedah did it in 2007 and 2008, and Selangor in 2009 and 2010, since the trophy was introduced in 2004 which was then won by Pahang.

In the match tonight, the Red Warriors opened accounts through Indra Putra Mahayuddin in the 17th minute before Mohammed Ghaddar Mahmoud made it 2-0 two minutes later after being fed by Indra Putra.

The Red Warriors skipper, Mohd Badhri Mohd Radzi punished the visitors further with a third goal four minutes later when he fired a powerful shot from inside the penalty box to beat Perak goalie Mohd Nasril Nourdin.

Source: MLP

Pencapaian Membanggakan - Annuar Musa

KOTA BAHARU, (Bernama) - Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa memuji para pemain dan ketua jurulatihnya, Bojan Hodak kerana berjaya mengekalkan kejuaraan Liga Super untuk kali kedua berturut-turut di negeri tersebut pada musim ini.

Skuad The Red Warriors berjaya mempertahankan gelaran Liga Super yang dimenangi mereka musim lepas selepas membelasah Perak, 6-0 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, di sini malam tadi.

Kemenangan tersebut membolehkan mereka mengumpul 57 mata, tujuh mata meninggalkan pencabar terdekat mereka, Lions XII dari Singapura yang mengumpul 50 mata dengan masing-masing masih berbaki dua perlawanan.

Kelantan merupakan pasukan ketiga berjaya mempertahan piala itu sejak ia diperkenalkan pada 2004 yang dimenangi Pahang, selepas Kedah melakukannya pada 2007 dan 2008 serta Selangor pada 2009 dan 2010.

Annuar berkata kejayaan mengekalkan Piala Liga Super itu didorong oleh semangat pemain yang mahu melihat piala tersebut kekal di negeri tersebut selain mahu menyekat pasukan tersebut dipintas oleh Lions XII pada baki dua perlawanan lagi.

"Pemain bermain bersungguh-sungguh kerana dorongan ingin memenangi piala di tempat sendiri sebab kalau kita tak menang malam ini...barangkali kita terpaksa bersama Singapura pada dua perlawanan terakhir.

"Kita tak nak ambil risiko dan saya ucapkan tahniah kepada ketua jurulatih dan pemain," katanya kepada pemberita selepas meyaksikan perlawanan tersebut malam tadi.

Annuar juga turut memuji sikap positif yang dipamerkan oleh penyokong Kelantan sepanjang perlawanan tersebut.

"Saya bangga tengok penyokong makin lama makin berdisiplin. Kita sudah jarang dengar kena denda dan ia adalah petanda positif untuk bola sepak Kelantan," katanya.

Sumber: MLP Sport

Saturday, July 7, 2012

Kelantan JUARA Liga Super 2012

Syukur alhamdulillah, kerana berkat usaha dan penat lelah seluruh barisan The Red Warriors khususnya para pemain Kelantan akhirnya terbalas pada malam ini apabila Kelantan berjaya melakar kemenangan bergaya ke atas Perak sekali gus secara automatik bergelar Juara Liga Super 2012 untuk tahun kedua berturut-turut.

Aksi pada separuh masa pertama sungguh menghiburkan dan mengkagumkan! Semestinya pemain yang harus dinobatkan Man of The Match malam ini, Indra Putra kerana berjaya melakar hatrik dan assist yang cantik untuk membantu rakan-rakan menjaringkan gol.

Kelantan menang bergaya 6-0 ke atas Perak yang bukan calang-calang pasukan di dalam Liga Super. Manakala senarai pemain yang berjaya mencetak nama selaku penjaring pada malam ini:

1. Indra Putra (hatrik)
2. Mat Ghaddar
3. Piya
4. Nurul Azwan Roya

Sekalung syabas dan tahniah tidak lupa juga kepada Farhan kerana sumbangan beliau menerusi beberapa hantaran cantik ke hadapan dan pemain pertahanan yang kental untuk mengawal pintu gol untuk mengekang asakan lawan yang sering kali melancarkan counter attack.

Tekanan Kelantan tiada lagi dalam dua baki perlawanan dan dijangkakan Bojan hanya akan menurunkan barisan simpanan untuk memberi pendedahan terutamanya kepada pemain muda.

Kemenangan kali ini menyuntik semangat The Red Warriors untuk terus cemerlang di masa hadapan. Penonton dan penyokong juga berpuas hati dan akan sentiasa bersama Kelantan untuk melakar kejayaan demi kejayaan di masa akan datang.

Gomo Kelate Gomo! Selamanya The Red Warriors!

Tuesday, July 3, 2012

Keputusan Kelantan vs Negeri Sembilan 3-2 Game 23, Liga Super 2012

Update ringkas, secara keseluruhannya Kelantan berjaya menguasai permainan berbanding Negeri Sembilan. Separuh masa pertama, Kelantan ketinggalan 1-0 hasil kesilapan pertahanan Kelantan yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain sayap Negeri Sembilan. Walaupun ketinggalan, Kelantan kembali bangkit untuk mengikat Negeri Sembilan di awal separuh masa kedua menerusi Corner cantik yang diangkat oleh Farhan.

Gol pertama dicetak oleh Azlan Ismail setelah percubaan Indra gagal ditangkap oleh penjaga gol N9 lalu jatuh ke kaki Azlan. Segalanya mula berubah apabila Ghaddar dimasukkan untuk menambahkan lagi impak bahagian serangan Kelantan.

Gol kedua Kelantan dicetak oleh Ghaddar menerusi perangkap offside yang agak kontroversi, namun jaringan Ghaddar disahkan oleh Pengadil perlawanan. Ini bermakna Ghaddar berada pada kedudukan on-site ketika bola dihantar ke sebelah kanan..

Gol ketiga pula dicetak oleh Indra menerusi kerjasama yang jarang sekali dapat dilihat apabila Ghaddar tidak mensia-siakan peluang terhidang apabila bijak memberi hantaran kepada Indra. Selalunya Ghaddar akan bertidak bersendirian..

N9 bangkit di akhir perlawanan untuk mengejar Kelantan dan berjaya memperoleh gol saguhati menerusi Corner cantik disudahkan oleh Shukor Adan namun segalanya sudah terlambat kerana begitu kesuntukkan masa.

Apapun, syabas dan tahniah kepada Kelantan dan N9 kerana mempamerkan aksi yang mnghiburkan dan inilah yang dikehendaki oleh seluruh penonton khususnya fans The Red Warriors.

Kelantan dilihat berpeluang cerah untuk menjulang Piala Liga Super musim ini apabila hanya memerlukan kemenangan satu perlawanan sahaja lagi sebelum disahkan sebagai Juara - The Champion of Malaysian Liga Super untuk 2 tahun berturut-turut...

Gomo Kelate Gomo!!