Keputusan Terkini

Kelantan 0 vs JDT 3 (2 Sep 2014)... Pulau Pinang 1 vs Kelantan 3 (29 Aug 2014)... Kelantan 1 vs ATM 2 (26 Aug 2014)... ATM 0 vs Kelantan 3 (23 Aug 2014)... Kelantan 3 vs Pulau Pinang 1 (19 Aug 2014)... JDT 1 vs Kelantan 0 (13 Aug 2014)...

Artikel Berkaitan...

Sunday, April 22, 2012

Tugas Berat Menanti Terengganu, Kelantan

KUALA LUMPUR, (Bernama) - Dua pasukan gergasi Pantai Timur, Terengganu dan Kelantan terpaksa menggalas tugas berat untuk melangkah ke final Piala FA apabila gagal memiliki kelebihan gol selepas saingan separuh akhir pertama malam ini.

Terengganu, bekas juara pada 2000 dan 2011, dikejutkan di gelanggang sendiri apabila kalah 1-2 kepada pasukan kelab Sime Darby FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Kelantan pula gagal mengambil kelebihan bermain di gelanggang sendiri apabila hanya mampu terikat 1-1 dengan Kedah di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu.

Di Kuala Terengganu, Sime Darby membuka tirai jaringan menerusi penyerang importnya dari Liberia, Patrick Ronaldinho Wleh, hasil gerakan solo pada minit ke-52 untuk menewaskan penjaga gol Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

Penyerang import Kelantan juga dari Liberia, Francis Forkey Doe bagaimanapun menyamakan kedudukan pada minit ke-65 selepas menerima umpanan cantik daripada Joseph Kalang Tie.
Harapan skuad Penyu untuk sekurang-sekurangnya mencatatkan keputusan seri berkecai apabila pemain tengah Mohammad Syukur Saidin menjaringkan gol kemenangan untuk Sime Darby pada masa kecederaan.

Di Kota Bharu, penyerang berbisa skuad Kijang, Norshahrul Idlan Talaha membuka tirai jaringan pada minit ke-16 untuk menggamatkan lebih 30,0000 penyokong setia The Red Warriors yang memenuhi stadium.

Tersentak dengan jaringan tersebut, skuad Kedah bangkit melancarkan serangan dan mereka berjaya menyamakan kedudukan menerusi pemain importnya dari Croatia, Vedran Gerc.
Gol tersebut berpunca daripada gerakan solo Vedran yang membawa bola sehingga ke dalam kotak penalti Kelantan sebelum melepaskan sepakan padu untuk menewaskan penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat.

Kedua-dua pasukan bagaimanapun terpaksa bermain dengan 10 pemain masing-masing pada minit ke-72 dan 74 selepas pemain Kedah Wan Mohd Syukri Wan Ahmad dan pemain Kelantan, Daudsu Jamaluddin dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Shokri Nor.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-V dan Tunku Laksamana Kedah, Datuk Seri Diraja Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah turut berkenan mencemar duli untuk menyaksikan perlawanan tersebut.

Pada perlawanan timbal balik separuh akhir pada 1 Mei ini, Kelantan akan bertandang ke Stadium Darul Aman di Alor Setar manakala Terengganu pula ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Laporan MyLaunchPad Sport.

No comments:

Post a Comment