Keputusan Terkini

Kelantan 0 vs JDT 3 (2 Sep 2014)... Pulau Pinang 1 vs Kelantan 3 (29 Aug 2014)... Kelantan 1 vs ATM 2 (26 Aug 2014)... ATM 0 vs Kelantan 3 (23 Aug 2014)... Kelantan 3 vs Pulau Pinang 1 (19 Aug 2014)... JDT 1 vs Kelantan 0 (13 Aug 2014)...
Showing posts with label Piala FA 2012. Show all posts
Showing posts with label Piala FA 2012. Show all posts

Saturday, June 23, 2012

Kelantan Juara Piala FA 2012

KELANTAN muncul juara Piala FA selepas menewaskan Sime Darby 1-0 pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Penyerang import, Muhamad Ghaddar muncul watak utama di sebalik kejayaan manis Kelantan itu apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-59 menerusi sepakan penalti.

Sepakan penalti itu berpunca selepas tonggak pertahanan Sime Darby, menolak pemain Kelantan, Obinna Nwaneri dalam kotak penalti.

Ghaddar yang diberi tanggungjawab mengambil sepakan penalti itu mudah menolak masuk bola ke gawang Sime Darby yang dikemudi penjaga gol, Mohd. Redzuan Harun.

Jaringan tunggal penyerang kelahiran Lebanon itu sudah cukup buat Kelantan memadam kekecewaan sebelum ini apabila tewas dalam aksi final Piala FA edisi 2009 dan 2011.

Pada 2009, Kelantan tewas 1-4 kepada Selangor pada penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan.

Musim lalu, Kelantan terus kempunan mendakap Piala FA apabila tewas 1-2 kepada jiran tetangga, Terengganu pada aksi final penuh dramatik di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Kejayaan Kelantan menjulang Piala FA yang baharu itu malam tadi diraikan bersama kira-kira 67,000 penyokong setia The Red Warriors yang hadir ke stadium.

Pada aksi itu, rentak permainan seimbang ditunjukkan kedua-dua pasukan sepanjang babak pertama berlangsung.

Bagaimanapun, Sime Darby terlebih dahulu menguji benteng Kelantan apabila percubaan Azmirul Azmi seawal minit kesembilan berjaya dinafikan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Kelantan menerima tamparan apabila tonggak pertahanan, S. Subramaniam terpaksa dikeluarkan apabila mengalami kecederaan di bahagian kepala selepas bertembung dengan penyerang Sime Darby, Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-28.

Peluang terbaik Kelantan untuk mencipta jaringan hadir menerusi kapten, Mohd. Badhri Radzi, namun bola tandukannya pada minit ke-36 gagal menerjah gawang Sime Darby.

Bersambung babak kedua perlawanan, Kelantan terus melancarkan serangan bertali arus ke kubu Sime Darby bagi memburu gol.

Akhirnya gol yang dicari-cari menjelma pada minit ke-59 hasil sepakan penalti Ghaddar.

Tersentak dengan gol tersebut, Sime Darby mula mengatur rentak lebih kemas bagi mencari gol penyamaan.

Bagaimanapun, beberapa peluang yang terhidang gagal diterjemahkan dengan baik.

Kelantan hampir menggandakan jaringan menerusi Indra Putra Mahayuddin, namun percubaannya pada minit ke-85 dinafikan Mohd. Redzuan.

Kosmo!

>>Baca selanjutnya >> This is The Red Warriors Territory!: Piala FA 2012

Thursday, May 17, 2012

Lega Dapat 10,000 Tiket Tambahan

TAMBAHAN 10,000 tiket diberikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melegakan penyokong Kelantan yang semakin bersemangat menyaksikan final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Ini berikutan 30,000 tiket yang diperuntukkan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak mencukupi untuk menampung jumlah kehadiran besar penonton dari negeri ini.

Timbalan Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.net), Mahizi Mahmood berkata, berdasarkan pengalaman setiap final membabitkan pasukan The Red Warriors, jumlah kehadiran penyokong negeri itu lebih ramai berbanding lawan.

“Tiket disediakan kepada Kelantan tidak mencukupi untuk menampung permintaan penyokong dan tambahan 10,000 lagi tiket oleh FAM seperti diumum kelmarin melegakan penyokong dan kami harap tidak ada masalah mendapatkan tiket bagi menyaksikan perlawanan ini,” katanya. Daripada jumlah itu, 12,000 tiket sudah habis ditempah selain 10,000 dikhususkan untuk penyokong Kelantan di Kuala Lumpur manakala 8,000 lagi dijual di kaunter Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Metro.

>>Baca selanjutnya >> This is The Red Warriors Territory!: Piala FA 2012

Karathu Yakin Hodak Mampu

BEKAS jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu menganggap Bojan Hodak berpeluang merealisasikan impian The Red Warriors untuk menjulang Piala FA bersandarkan kepada kekuatan barisan pemain sedia ada yang disifatkannya berada dalam kelas tersendiri.

Karathu yang pernah membimbing Kelantan pada 2011 selain berjaya membantu negeri itu merangkul kejuaraan Liga Super 2011 yakin The Red Warriors berpeluang menamatkan penantian menjulang Piala FA selepas tiga kali layak ke final iaitu pada 2009, 2011 dan tahun ini.

Karathu berkata, dengan barisan pemain dimiliki Kelantan pada musim ini, Hodak tiada masalah untuk merancang strategi menghadapi Sime Darby apatah lagi dengan kehadiran pemain import yang menguatkan lagi pasukan.

Secara peribadi, Karathu menyifatkan kehadiran pemain import dari Lubnan, Mohamad Ghaddar yang digandingkan dengan Norshahrul Idlan Talaha menghasilkan kesan positif kepada Kelantan selain beberapa pemain seperti Norfarhan Mohamad dan Indra Putra Mahayuddin turut menyengat dalam saingan Piala FA “Hodak berpeluang membawa pulang Piala FA untuk Kelantan dengan barisan pemain dimilikinya dan saya percaya dengan rekod cemerlang dicapai sepanjang musim ini, ia memberi kelebihan kepada Kelantan untuk menang final ini.

“Jika sebelum ini Kelantan layak ke final, dengan pemain sedia ada, kali ini termasuk beberapa pemain import, kekuatan pasukan itu semakin mantap,” katanya yang meramalkan Kelantan bakal menewaskan Sime Darby, 2-1.

Metro.

>>Baca selanjutnya >> This is The Red Warriors Territory!: Piala FA 2012

Sekang Mata Siapkan Wau Gergasi & Potret

SERAMAI 400 ahli Ultras Kelantan The Red Mania (UKTRM) bersengkang mata secara bergilir-gilir selain berkampung di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu sejak seminggu lalu untuk menghasilkan wau bulan gergasi dan potret 12 wajah pemain Kelantan termasuk ketua jurulatih, Bojan Hodak sebagai tanda sokongan terhadap pasukan itu yang akan beraksi di final Piala FA, Sabtu ini.

Ahli UKTRM, Amran Pulse, 29 berkata, dia bersama 400 lagi ahli UKTRM berkampung sejak 9 Mei lalu untuk menyiapkan koreograf atau tifo berbentuk wau bulan bersaiz 10x12 meter secara bergilir-gilir.

Katanya, selain wau bulan, UKTRM turut menghasilkan tifo potret 12 wajah pemain termasuk jurulatih sebelum dibawa ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, nanti.

“Kami tidur di pekarangan stadium selama tujuh hari tujuh malam untuk menyiapkan tifo ini dan kerja mengecat dilakukan secara bergilir-gilir oleh ahli UKTRM.

“Ini sebahagian daripada tanda sokongan UKRTM kepada pasukan Kelantan yang layak ke Final Piala FA tahun ini,” katanya yang menjangkakan tifo itu dijangka siap semalam dan akan dibawa ke Bukit Jalil pada hari perlawanan.

Menurutnya, bagi menghasilkan tifo itu, UKTRM membelanjakan RM3,000 dan menggunakan lebih 200 meter kain.

Metro.

>>Baca selanjutnya >> This is The Red Warriors Territory!: Piala FA 2012

"Elak Duka Berulang"

“DETIK itu masih terbayang di ingatan, namun saya tidak mahu tragedi sama berulang kali ini,” kata pertahanan Kelantan, Mohd Daudsu Jamaluddin, 27, yang tertanduk bola ke gawang sendiri untuk gol penyamaan Terengganu di penghujung perlawanan sebelum skuad Kijang akhirnya tewas 1-2 kepada Terengganu pada masa tambahan perlawanan akhir Piala FA tahun lalu.

Penyokong The Red Warriors pasti masih mengingati kekalahan mengecewakan itu kerana mereka begitu hampir untuk muncul juara dalam tempoh masa sebenar perlawanan, namun nama Mohd Daudsu tetap di hati peminat apabila ramai yang menyebelahinya. Ia dibuktikan menerusi kewujudan laman khas di facebook dengan pelbagai tajuk, antaranya ‘100,000 rakyat Kelantan tak salahkan Daudsu atas kekalahan Kelantan’, ‘Jangan salahkan Daudsu okay’, ‘Maafkan Daudsu’ dan ‘Bukan salah Daudsu’.

Mohd Daudsu pula segera meminta maaf atas kesilapannya itu dan disiarkan di beberapa akhbar utama.

Pemain yang mendapat jolokan ‘kereta kebal Kelantan’ itu berkata, meskipun hampir setahun berlalu, dia belum melupakan tragedi itu tapi pada perlawanan akhir Piala FA menentang Sime Darby FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini, dia membulat tekad untuk menjadi benteng paling kebal buat The Red Warriors.

Katanya, bagi memastikan peristiwa sama tidak berulang, dia akan lebih berhati-hati kerana tidak mahu mensia-siakan peluang menjulang Piala FA untuk kali pertama selepas tiga kali layak ke final pada 2009, 2011 dan tahun ini.

“Saya tidak mahu ia berulang dan akan cuba yang terbaik ketika mempertahankan benteng pasukan.

“Ini peluang ketiga Kelantan untuk menjulang satu-satunya piala yang belum diperoleh dan saya harap rakan sepasukan bekerja keras untuk memastikan kami menang,” katanya.

Menurutnya, bukan tugas mudah bagi seorang pemain pertahanan mengekang asakan lawan kerana memerlukan kemahiran dan keupayaan membaca pergerakan lawan. “Saya akan gunakan segala pengalaman yang ada. Setiap pemain mempunyai kebolehan tersendiri namun kita masih perlu bekerjasama dengan rakan sepasukan dan saya tidak akan membiarkan lawan melepasi benteng dengan mudah,” katanya.

Metro.

>>Baca selanjutnya >> This is The Red Warriors Territory!: Piala FA 2012