Keputusan Terkini

Kelantan 0 vs JDT 3 (2 Sep 2014)... Pulau Pinang 1 vs Kelantan 3 (29 Aug 2014)... Kelantan 1 vs ATM 2 (26 Aug 2014)... ATM 0 vs Kelantan 3 (23 Aug 2014)... Kelantan 3 vs Pulau Pinang 1 (19 Aug 2014)... JDT 1 vs Kelantan 0 (13 Aug 2014)...

Monday, April 30, 2012

Piya Tak Sabar Beraksi

KAPTEN pasukan Kelantan, Mohd. Badri Radzi atau Piya yang baru sahaja pulih dari- pada kecederaan, mengakui sudah tidak sabar untuk kembali beraksi pada pertemuan separuh akhir kedua Piala FA bertemu Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.

Piya yang sebelum ini mengalami kecederaan pada aksi separuh akhir pertama di Kota Bharu, 21 April lalu dilihat sudah menjalani latihan bersama The Red Warriors di padang Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Pasir Tumboh dekat Kota Bharu semalam.

"Alhamdulillah, kecederaan yang dialami hanya melibatkan ketegangan urat sahaja dan ia hampir sembuh.

"Pertemuan ini cukup penting buat Kelantan kerana ia akan menentukan sama ada kita layak beraksi di pentas akhir Piala FA musim ini atau tidak," katanya ketika dihubu- ngi semalam.

Mengulas mengenai pertemuan kedua di Stadium Darul Aman malam ini, Piya memberitahu, kedua-dua pasukan mempunyai peluang seimbang dalam perlawanan tersebut.

"Bagaimanapun, kita tidak boleh mengambil mudah perlawanan ini. Pertemuan kedua ini pasti menjanjikan aksi yang sengit, mahu tidak mahu kita kena bersedia untuk perlawanan ini.

"Saya harap rakan-rakan sepasukan dapat memberikan aksi terbaik dalam pertemuan ini walaupun turun tanpa beberapa tonggak seperti Mohd. Daudsu Jamaluddin dan S. Subramaniam," ujarnya.

Tambahnya, ketiadaan dua tonggak itu tidak menjejaskan persiapan pasukan memandangkan Kelantan mempunyai pemain yang mampu mengisi kekosongan ditinggalkan oleh pemain tersebut.

Pemain kelahiran Kampung Atas Paloh, Kota Bharu ini berkata, dia dan rakan-rakanya bertekad untuk mendapatkan jaringan awal bagi menyuntik moral rakan-rakan sepasukan pada pertemuan tersebut.

"Walaupun mereka dilihat mempunyai kelebihan beraksi di tempat sendiri, namun saya dan rakan-rakan tidak akan memberikan laluan mudah.

"Kelibat Khryil Muhymeen Zambri perlu diawasi jika kita tidak mahu kecewa pada pertemuan tersebut dan dia seorang pemain yang cukup bahaya buat Kelantan, termasuklah serangan balas mereka," jelasnya.

Pada pertemuan separuh akhir pertama di Kota Bharu pada 21 April lalu, kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 1-1.

Laporan KOSMO! 01-MAY-2012.

Wednesday, April 25, 2012

Ghaddar Bantu Kelantan Menang

KUALA LUMPUR, (Bernama) - Kelantan mencatatkan kemenangan ketiga dalam saingan Kumpulan H Piala AFC selepas mengalahkan wakil Vietnam, Navibank Saigon, 2-1 di Stadium Thong Nhat, Ho Chi Minh hari ini.

Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Bojan Hodak mengumpul 10 mata bagi mendahului saingan dalam kumpulan selepas mengharungi lima perlawanan.

Pada perlawanan tersebut, skuad Kijang dikejutkan dengan jaringan awal penyerang import Navibank dari Colombia, Edison Fonseca pada minit ke-33.

Kelantan yang tidak berputus asa berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-79 menerusi sepakan percuma Indra Putra Mahayuddin dari luar kotak penalti.

Penyerang import Kijang dari Lubnan, Mohammed Ghaddar memastikan mereka berjaya membawa pulang tiga mata ke Kota Baharu menerusi jaringan pada minit ke-85.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan H, Ayeyawady United dari Myanmar tumpas 0-3 kepada wakil Indonesia, Arema FC di Stadium Thuwunna Pusat Latihan Belia Yangon.

Esok, satu lagi wakil Malaysia yang berada dalam Kumpulan F, Terengganu akan menentang wakil Vietnam, Song Lam Nghe An di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Tuesday, April 24, 2012

Kelantan Tak Rela Diratah Lawan

HO CHI MINH CITY, Vietnam – Wakil Malaysia dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Kelantan tidak akan memberi laluan mudah kepada wakil Vietnam, Navibank Saigon pada aksi kelima Kumpulan H di Stadium Thong Nhat di sini malam ini.

Biarpun turun tanpa kelibat ketua pasukan Mohd. Badri Radzi atau Piya yang terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan bertemu Kedah pada aksi separuh akhir pertama Piala FA Sabtu lalu, ia tidak menjejaskan tumpuan The Red Warriors menjelang pertemuan tersebut.

Sebaliknya pengendali Kelantan, Bojan Hodak mengakui yang beliau sudah menemui ramuan terbaik untuk dihidangkan pada perlawanan tersebut.

“Tempat Piya akan diisi oleh Indra Putra (Mahyuddin). Saya yakin Indra mampu menggalas tugas tersebut berdasarkan pengalaman dan kelebihan yang dimiliki oleh pemain berkenaan.

“Pasukan lawan (Navibank) mempunyai jentera tengah yang kuat. Jadi, saya akan kuatkan jentera tengah kita bagi memastikan Kelantan menguasai bahagian ini,” katanya pada sidang media semalam.

Mengulas mengenai peluang pasukannya pada perlawanan tersebut, Hodak optimis The Red Warriors mampu meraih tiga mata seterusnya mencerahkan peluang layak ke pusi- ngan seterusnya.

“Walaupun sedikit kepenatan selepas mengharungi perlawanan yang hebat minggu lalu, saya harap ia tidak menjejaskan tumpuan semua pemain.

“Kemenangan cukup penting buat kita sebelum menanti kunjungan Ayeyawady United pada perlawanan terakhir di Kota Bharu nanti,” ujarnya.

Sementara itu, rakan sejawat Hodak, Pham Cong Loc berkata, beliau akan mempertaruhkan barisan terbaik pada pertemuan ini.

“Kami mempunyai misi yang sama seperti Kelantan iaitu untuk meraih kemenangan. Jadi, saya harap pemain tidak memberikan laluan mudah buat Kelantan pada perlawanan ini.

“Hanya kemenangan sahaja yang akan menjamin tempat kami ke pusingan seterusnya,” tegasnya.

Selepas mengharungi empat perlawanan Kelantan, Navibank Saigon serta Ayeyawady United berkongsi tujuh mata, namun dibezakan dengan jumlah jaringan.

Link KOSMO!

Monday, April 23, 2012

The Red Warriors Cemas

KUALA LUMPUR, (D5) - The Red Warriors menerima perkhabaran berita buruk selepas kehilangan dua pertahanan menjelang pertemuan dengan Kedah pada pusingan kedua separuh Piala FA, 1 Mei ini.
Dua tonggak pertahanan tersebut ialah S. Subramaniam dan Mohd Daudsu Jamaluddin, masing-masing telah digantung perlawanan.

Selain penggantunggan, Kelantan juga berdepan jadual perlawanan ketat kerana akan terlibat dalam saingan Piala AFC sebelum turun bertemu Kedah nanti.

Lebih memburukkan keadaan lagi ialah Kedah kini memiliki kelebihan gol ditempat lawan selepas seri 1-1 di Kota Bharu tempoh hari.

Pengurus pasukan, Azman Ibrahim mengakui kekurangan yang dimiliki mereka dan berharap nasib kali berada di pihak mereka.

"Jadual kami ketat dengan perlawanan AFC, manakala Kedah pula berehat selama 10 hari," kata Azman.

Laporan MyLaunchPad Sport.

Sunday, April 22, 2012

Tugas Berat Menanti Terengganu, Kelantan

KUALA LUMPUR, (Bernama) - Dua pasukan gergasi Pantai Timur, Terengganu dan Kelantan terpaksa menggalas tugas berat untuk melangkah ke final Piala FA apabila gagal memiliki kelebihan gol selepas saingan separuh akhir pertama malam ini.

Terengganu, bekas juara pada 2000 dan 2011, dikejutkan di gelanggang sendiri apabila kalah 1-2 kepada pasukan kelab Sime Darby FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Kelantan pula gagal mengambil kelebihan bermain di gelanggang sendiri apabila hanya mampu terikat 1-1 dengan Kedah di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu.

Di Kuala Terengganu, Sime Darby membuka tirai jaringan menerusi penyerang importnya dari Liberia, Patrick Ronaldinho Wleh, hasil gerakan solo pada minit ke-52 untuk menewaskan penjaga gol Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

Penyerang import Kelantan juga dari Liberia, Francis Forkey Doe bagaimanapun menyamakan kedudukan pada minit ke-65 selepas menerima umpanan cantik daripada Joseph Kalang Tie.
Harapan skuad Penyu untuk sekurang-sekurangnya mencatatkan keputusan seri berkecai apabila pemain tengah Mohammad Syukur Saidin menjaringkan gol kemenangan untuk Sime Darby pada masa kecederaan.

Di Kota Bharu, penyerang berbisa skuad Kijang, Norshahrul Idlan Talaha membuka tirai jaringan pada minit ke-16 untuk menggamatkan lebih 30,0000 penyokong setia The Red Warriors yang memenuhi stadium.

Tersentak dengan jaringan tersebut, skuad Kedah bangkit melancarkan serangan dan mereka berjaya menyamakan kedudukan menerusi pemain importnya dari Croatia, Vedran Gerc.
Gol tersebut berpunca daripada gerakan solo Vedran yang membawa bola sehingga ke dalam kotak penalti Kelantan sebelum melepaskan sepakan padu untuk menewaskan penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat.

Kedua-dua pasukan bagaimanapun terpaksa bermain dengan 10 pemain masing-masing pada minit ke-72 dan 74 selepas pemain Kedah Wan Mohd Syukri Wan Ahmad dan pemain Kelantan, Daudsu Jamaluddin dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Shokri Nor.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-V dan Tunku Laksamana Kedah, Datuk Seri Diraja Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah turut berkenan mencemar duli untuk menyaksikan perlawanan tersebut.

Pada perlawanan timbal balik separuh akhir pada 1 Mei ini, Kelantan akan bertandang ke Stadium Darul Aman di Alor Setar manakala Terengganu pula ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Laporan MyLaunchPad Sport.

Saturday, April 21, 2012

Keputusan Kelantan vs Kedah Separuh Akhir 1 Piala FA 2012

Kelantan gagal memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri pada malam ini apabila sekadar mencatat keputusan seri ketika melayan kunjungan Kedah di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Bharu malam ini. Walaupun turun dengan barisan yang berpengalaman dan terbaik, Kelantan masih buntu untuk untuk memecah gawang Helmi dan benteng pertahanan Kedah. Keputusan penuh 1-1.

Gol pertama pada malam ini dijaringkan oleh penyerang sensasi Kelantan, Mat Yo menerusi gerakan cantik kapten Piya, Ghaddar dan Mat Yo. Manakala gol Kedah pula dijaringkan oleh pemain import baru mereka, Vedron Gerc menerusi gerakan solo dari tengah berjaya menewaskan Obinha dan Subra dan memperdayakan Apek.

Kehilangan Piya yang diganti oleh Azwan Roya pada sepak mula separuh masa kedua terus mencacatkan rentak serangan Kelantan. Ketiadaan kapten menyebabkan corak serangan jadi kucar kacir dan tidak tersusun. Tiada hantaran cantik yang mampu memecah benteng Kedah yang dilihat bermati-matian mempertahankan gol sebiji yang diperoleh Gerc.

Perlawanan pada malam ini juga tercalar apabila pengadil dilihat agak sensitif dan banyak memberhentikan perlawanan yang dinggap panas bagi beliau. Seorang pemain Kedah, Wan Syukri diberikan kad merah manakala Daudsu juga ditimpa nasib yang sama apabila memungut kad kuning yang kedua. Banyak kad kuning dilayang terutamanya kepada pemain Kedah yang gemar melawan keputusan pengadil. Sejauh mana ketepatannya bergantung kepada penilaian masing-masing.

Lebih tertekan lagi apabila perlawanan yang disiarkan di TV1 diulas oleh Hasbullah Awang yang tidak putus-putus memberi komen dan menyebut nama pemain yang tidak tepat. Selain itu, terdapat juga info yang disebut oleh Datuk Hasbullah tidak bertepatan dengan apa yang sebenarnya.

Kesimpulannya, pemain Kelantan tidak menunjukkan prestasi yang sebenar. Mungkin gara-gara keletihan akibat jadual perlawanan yang padat seperti dilaporkan oleh Azman. Ghaddar gagal memanfaatkan peluang keemasan tidak seperti ketika beliau beraksi dalam Piala AFC. Bahagian tengah kurang menjadi apabila kehilangan Piya. Mat Yo masih berhati-hati akibat kecederaan. Bahagian pertahanan kerap melakukan kesilapan yang mengundang padah. Canturu kerap kehilangan bola akibat gelecekan yang tidak menjadi.

Kedah terlalu bertahan dan berkampung di dalam kotak penalti juga menyukarkan pencarian gol. Sedikit sebanyak membangkitkan rasa geram kerana seolah-olah tidak mahu bermain bola dan bertahan semata-mata. Pemain kerap jatuh dan menarik perhatian pengadil. Tindakan suka melengahkan masa dilihat sering sahaja berlaku untuk memperlahankan perlawanan terutamanya ketika menentang pasukan yang menyerang secara laju seperti Kelantan. Dan itulah Wan Jamak yang biasanya berkesan terutamanya ketika pasukan bimbingannya menentang Kelantan.

Apapun, kita sama-sama tunggu aksi ke-2 di Kedah. Siapapun ke peringkat akhir, mereka sememangnya layak ke peringkat akhir. Hanya yang terbaik sahaja akan mara. Syabas kepada Kelate dan Kedah kerana mempamerkan persembahan yang menghiburkan pada malam ini.

Gomo KELATE Gomo!!!

Kelantan Terus Himpit Lions XII

KELANTAN menyingkap tirai pusingan kedua Liga Super dengan penuh bergaya apabila membenam T-Team 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Kemenangan di gelanggang lawan itu membolehkan Kelantan yang masih kekal berada di tangga kedua liga terus memberi tekanan kepada pendahulu, Lions XII.

Kelantan yang telah beraksi 14 perlawanan mengumpul 31 mata, manakala Lions XII merekodkan 36 mata daripada 17 perlawanan.

"Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan aksi para pemain malam tadi (kelmarin).

"Ia kemenangan yang menggembirakan tetapi saya yakin pemain saya mampu memberi lebih daripada apa yang dipamerkan," jelas jurulatih Kelantan, Bojan Hodak semalam.

Kelantan terlebih dahulu dikejutkan dengan gol pembukaan tuan rumah pada minit ke-52 apabila Khairul Izwan Khalid menanduk masuk bola hantaran Rosdi Talib.

Bagaimanapun, ledakan S. Chanturu dari luar kotak penalti pada minit ke-67 dan sepakan penalti Muhammad Ghaddar empat minit sebelum perlawanan tamat sudah cukup memastikan Kelantan pulang dengan noktah kenangan.

"Pada separuh masa kedua, T-Team mula bermain secara agresif dengan tempo yang lebih pantas sehingga mereka berjaya menghasilkan gol pembukaan.

"Gol tersebut berpunca daripada sepakan percuma dan barisan pertahanan kita agak leka dan gagal mengawal pergerakan pemain lawan sehingga mereka berjaya mencuri peluang tersebut," kata Bojan.

Mengulas mengenai kemunculan semula Ghaddar yang kembali mengetuai jentera serangan Kelantan, Bojan berkata: "Ini merupakan aksi pertama dia selepas direhatkan lebih dua bulan.

"Biarpun ia gol menerusi sepakan penalti tetapi sekurang-kurangnya ia memberi semangat serta lebih keyakinan untuk terus meledak gol pada perlawanan akan datang," jelasnya.

Bojan turut mengesahkan bahawa penjaga gol utama Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat akan kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama selepas hampir dua bulan diketepikan ekoran kecederaan bahu.

Laporan Kosmo 19-April-2012

Semangat Pemain Kelantan Melonjak

KUALA LUMPUR, (D5) - Bojan Hodak menyifatkan semangat pemainnya tinggi menjelang pertemuan separuh akhir Piala FA Kelantan dengan Kedah Sabtu ini.

Kelantan mengutip kemenangan penting dalam Liga Super ke atas T-Team sekaligus menaikkan semangat untuk menang dikalangan pemainnya.

"T-Team sebuah pasukan hebat, kemenangan ini pasti melonjak mood para pemain," ujar Hodak.
Hodak disamping itu turut menabur pujian kepada barisan pemainnya yang bangkit walaupun pada mulanya ketinggalan semasa pertemuan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah tersebut.

Laporan daripada MyLauchPad sport.

Tuesday, April 17, 2012

Kelantan, Kedah, Lions XII - Siapa Lebih Hebat?

Kelantan memburu dua kemenangan penting apabila bakal berdepan dengan Kedah dalam aksi Separuh Akhir PIALA FA 2012 yang dijadualkan berlangsung pada 21-April ini dan satu lagi misi untuk merampas kembali tahta Liga Super yang sekarang ini diterajui oleh skuad Lions XII Singapura.

Persoalannya, siapakah yang lebih hebat untuk menyerap tekanan bersiri ini?

Demi untuk mengelak daripada maruah negara daripada tercemar, Kelantan sedia bangkit untuk merampas kembali tahta Liga Super daripada kelab dari Singapura itu. Namun tidak bermakna Kelantan tidak fokus untuk menempah slot ke peringkat akhir PIALA FA 2012.

Kedua-duanya merupakan perlawanan penting namun keutamaan harus diberikan kepada saingan Piala FA. Kita tidak harus memandang rendah Kedah walaupun mereka berada di tangga tercorot liga. Wak Jamak juga mempunyai resepi tersendiri untuk menidakkan hasrat Kelantan namun latihan di bawah kendalian Bojan Hodak pastinya berbeza.

Siapa yang lebih bijak pastinya akan berjaya. Kembalinya Ghaddar juga adalah untuk merealisasikan hasrat Kelantan ke FINAL PIALA FA. Atas kertas, Terengganu dijangka bakal ke slot akhir Piala berprestij itu dengan mudah apabila berhadapan Sime Darby, iaitu kelab bukan pilihan. Diharap Sime Darby juga mampu untuk mengejutkan Terengganu yang terumbang ambing sekarang dan mencatatkan sejarah bertemu Kelantan di FINAL. InsyaAllah..

Gomo KELATE Gomo!!!!!!

Kelantan Mahu Menang Semua - KOSMO!

KELANTAN bertekad untuk membuka tirai pusingan kedua Liga Super dengan langkah kanan apabila mereka dijadualkan bertemu T-Team di Kuala Terengganu.

Selepas gagal mengambil kesempatan mengutip mata penuh ketika aksi di gelanggang sendiri Sabtu lalu, malam ini merupakan peluang terbaik untuk Kelantan mengukuhkan kedudukan di puncak liga biarpun kekurangan dua perlawanan berbanding Lions XII.

Aksi yang kurang bertenaga selepas terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 dengan T-Team pantas disedari oleh ketua jurulatihnya, Bojan Hodak yang dijangka bakal melakukan beberapa rombakan.

Menurutnya, beberapa pertukaran akan dilakukan selepas pemain tengah, Shakir Shaari kembali berada dalam kesebelasan utama.

Pada perlawanan sebelum ini, Shakir direhatkan atas alasan keletihan.

"Saya telah memberitahu semua pemain tentang kesilapan yang mereka lakukan dalam perlawanan sebelum ini dan saya harap mereka faham serta tidak mengulanginya lagi.

"Bukan senang untuk menang tetapi saya percaya kami mampu melakukannya.

"Shakir akan kembali dan saya mungkin akan merehatkan Rizal Fahmi kerana dia sudah bermain dalam banyak perlawanan. Ghaddar juga sudah pasti akan bersama kita untuk mengetuai jentera serangan," katanya ketika dihubungi di Kota Bharu semalam.

Tambah Hodak, seorang lagi penyerang, Norfarhan Muhammad mengalami kecederaan dan beliau akan memantau keadaan pemain itu sebelum membuat keputusan sama ada diturunkan atau sebaliknya pada perlawanan malam ini.

Katanya, pasukan T-Team memiliki kekuatan tersendiri, terutamanya apabila mereka bermain menggunakan corak hantaran pendek selain pemain-pemain tengah mereka yang mempunyai kualiti untuk merencanakan gerakan.

"Mereka sentiasa bekerja keras dan saya fikir kita perlu bersedia untuk menyekat mereka. Corak permainan juga pantas dan mereka sentiasa mahu menewaskan kami.

"Mereka pasti memiliki kelebihan selain aksi di tempat sendiri. Mereka juga mempunyai rehat yang cukup kerana ini merupakan perlawanan kedua mereka dalam tempoh tujuh hari berbanding kita yang terpaksa berdepan dengan empat perlawanan," ujarnya.

Bagaimanapun, Hodak sentiasa optimis Kelantan sentiasa mampu mengatasi mana-mana pasukan termasuklah ketika beraksi di gelanggang lawan.

"Mata penuh di Kuala Terengganu malam esok (malam ini) akan memberikan kita lebih keyakinan untuk terus berdepan beberapa lagi siri perlawanan penting, terutamanya pada saingan separuh akhir Piala FA dan Piala AFC.

"Saya percaya kita mampu tetapi dengan syarat kita harus beraksi lebih baik berbanding perlawanan sebelum ini.

"Kita juga berharap para penyokong akan hadir beramai- ramai untuk memberikan sokongan kepada pasukan," jelas Hodak.

LINK

Keputusan T-Team vs Kelantan 1-2, Game 14 Liga Super 2012

Kelantan memulakan aksi pusingan kedua Liga Super 2012 dengan langkah kanan apabila berjaya mencipta kemenangan ke atas T-Team di Kuala Terengganu. Biarpun menang tipis namun kejayaan tetap kejayaan. Syabas dan tahniah diucapkan kepada The Red Warriors. Perlawanan yang dianggap timbal balik pada malam ini sungguh bermakna buat penyokong untuk membalas kekecewaan apabila sekadar seri di laman sendiri tempoh hari.

Gol pada malam ini dijaringkan oleh Canturu manakala gol kedua disumbangkan Ghaddar menerusi sepakan penalti di penghujung separuh masa kedua.

Boleh dikatakan seluruh penyokong The Red Warriors khususnya yang berada di luar Kelantan amat merindui untuk menyaksikan aksi pemain Kelantan di kaca TV. Namun agak malang kerana kita selalu diketepikan sejak kekecohan menimpa TSAM tempoh hari. Bahkan amat bosan melihat team yang sama seperti Lion XII, N9, Terengganu, Selangor sentiasa mendapat perhatian live di Astro Arena mahupun TV1.

Ya, tidak dapat dinafikan lagi inilah permainan sebenar FAM. Semuanya gara-gara untuk menyekat protes penyokong The Red Warriors yang memasang kain rentang dan banner untuk menjatuhkan FAM. Apa yang jelas, mereka sedang takut untuk menghadapi kebenaran dan mengelakkan imej mereka tercalar apabila persatuan bola sepak kebangsaan yang gah dan tertinggi itu berusaha untuk menyekat apa sahaja komen yang berkaitan bola Negeri Kelantan.

Percaya atau tidak, itulah nasib malang yang menimpa The Red Warriors ketika ini. Menyedihkan apabila kita terpaksa bernaung di bawah payungan FAM yang tidak sensitif akan kemahuan dan kehendak penyokong.

Apapun, Kelantan tetap yang terbaik. Kemenangan pada malam ini adalah titik mula untuk langkah yang lebih cemerlang. Seluruh penyokong Kelantan sentiasa bersatu padu dan tidak gentar untuk komen bahkan beribu-ribu komen terbuka dilemparkan di laman FB. Segalanya untuk kebaikan kerana bola sepak tiada makna tanpa penyokong..

Selamat kembali ke Liga Super juga diucapkan kepada Ghaddar. Semestinya sentuhan magis beliau amat ditagih untuk membantu Kelantan mengekalkan rekod kejuaraan dan merapatkan kembali jurang dengan Lion XII yang beraksi lebih-kelebihan-berlebihan perlawanan.

Gomo KELATE Gomo!!!!

Sunday, April 15, 2012

Keputusan Kelantan vs T-Team 1-1, Game 13 Liga Super 2012

Seperti yang dijangka, Kelantan gagal memanfaatkan kelebihan bermain di halaman sendiri untuk menjinakkan T-Team apabila sekadar seri pada siri perlawanan ke-13 Liga Super 2012. Semestinya faktor kepenatan masih menghantui majoriti pemain The Red Warriors ketika berhempas pulas untuk menewaskan Arema Indonesia baru-baru ini.

Secara keseluruhannya, rata-rata pemain The Red Warriors yang diturunkan pada malam ini tidak mempamerkan aksi yang bertenaga dan gagal menyudahkan deretan peluang yang terhidang. Pasukan T-Team pula mengambil kesempatan atas faktor keletihan Kelantan namun pujian juga harus diberikan khususnya barisan pertahanan Kelantan yang diketuai Obinha.

Gol pertama Kelantan dijaringkan oleh Nurul Azwan Roya pada penghujung separuh masa pertama. Manakala gol T-Team dijaringkan oleh Khairul Izwan pada minit ke-74. Farhan juga tidak begitu menjadi memaksa Bojan Hodak membuat pertukaran dengan memasukkan Mat Yo namun masih tidak berkesan. Mat Yo yang sekian lama direhatkan gara-gara kecederaan lutut, tampak agak tidak cergas dan masih berhati-hati dalam setiap pergerakan beliau.

Apa-apapun, syabas dan tahniah kepada The Red Warriors kerana masih mampu bertahan dan berjuang walaupun keletihan dan terpaksa menghadapi jadual perlawanan yang padat.

Gomo KELATE Gomo!!!

Friday, April 13, 2012

Suka Duka Kancah Bola Sepak Kelantan

Petikan akhbar KOSMO online, yang terbaik setakat ini.. Khas buat FAM dan tatapan The Red Warriors.. Betapa kita dianaktirikan oleh FAM namun kita masih lagi bangkit untuk menyuarakan kebenaran.. Hakikat dunia, hanya penipuan yang boleh bermaharajalela.. Kebenaran tidak lagi mudah untuk disuarakan kerana kepentingan peribadi adalah segala-galanya.. Selagi tampuk kepimpinan FAM tidak berubah, bola sepak Malaysia tidak akan mampu untuk mencatat nama di persada dunia..

Sungguh malang nasib TSAM namun semua penyokong The Red Warriors sentiasa tidak jemu untuk memperjuangkan kebenaran. Semua orang mampu menilai antara kebaikan dan keburukan, kebenaran dan penipuan. Marilah kita tatap tulisan hebat kosmo kali ini..


_____________________________________

BOLA sepak Kelantan memiliki susur galur sejarah yang cukup panjang dan unik, perjalanan dan jatuh bangun pasukan ini sentiasa menarik untuk ditelusuri.

Pernah dianggap 'kilang' yang melahirkan ramai nama-nama besar dan berstatus legenda seperti Dali Omar, Mahadi Yusof, Nik Salleh Nik Man, Hashim Mustapha, Wan Ezila Daud dan Nik Fauzi Nik Hassan, Kelantan kini mampu berbangga dengan pencapaian yang telah dikecapi.

Menjadi pasukan negeri pertama terperosok di kancah liga kelas ketiga, Liga FAM, Kelantan kemudian bangkit menjadi kuasa besar baharu bola sepak Malaysia selepas menjulang Piala Malaysia dan Liga Super.
Era kebangkitan Kelantan bermula pada musim 2008 apabila tampuk kepimpinan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) diambil alih oleh Tan Sri Annuar Musa yang telah banyak melakukan perubahan.

Transformasi secara menyeluruh termasuk daripada segi pengurusan dan barisan pemain yang disenaraikan meletakkan Kelantan antara pencabar yang perlu digeruni dalam saingan Liga Malaysia.
Sokongan yang diterima daripada para peminat cukup menakjubkan apabila berbondong-bondong penyokong mereka mula membanjiri Stadium Sultan Muhammed Ke-IV malah, aksi Kelantan di gelanggang lawan juga mendapat sambutan yang menggalakkan.

Namun, dalam usaha meletakkan mereka sebagai gergasi bola sepak tempatan, Kelantan juga tidak pernah terlepas daripada tercalit dengan pelbagai isu dan kontroversi yang menyelubungi pasukan tersebut.

Perlawanan pertama Liga Super 2009 menyaksikan Kelantan bertemu KL Plus di Kota Bharu dan pasukan pelawat diberikan kemenangan percuma apabila KAFA dipersalahkan kerana didakwa tidak menyediakan padang yang sempurna sehingga perlawanan tersebut dibatalkan kerana hujan lebat dan padang digenangi air.

Kejadian tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan peminat dan desakan demi desakan yang dilakukan menyebabkan FAM menukar keputusan tersebut untuk mengadakan semula perlawanan berkenaan.

Sejarah yang tidak mungkin lenyap dalam memori para peminat bola sepak Malaysia pastinya insiden yang berlaku pada 7 April 2009 apabila sebuah trak polis dibakar dan kereta penonton dipecahkan selepas penyokong Kelantan mengamuk di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV dalam saingan separuh akhir Piala FA pertama menentang Negeri Sembilan.

Padahnya, FAM mendenda KAFA sebanyak RM90,000 dan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV digantung daripada mengadakan sebarang perlawanan Liga Malaysia sehingga akhir musim.

Keputusan tersebut nyata mewujudkan konfrantasi antara peminat Kelantan dan FAM apabila mereka menganggap keputusan tersebut sebagai keterlaluan dan tidak masuk akal.

Atas desakan peminat, akhirnya FAM mula menggunakan budi bicara dan Stadium Sultan Muhammed Ke-IV hanya digantung enam perlawanan dan sepanjang digantung, Kelantan terpaksa beraksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang nyata memberi impak kepada prestasi pasukan pada waktu itu.

Jika isu denda akibat kelakuan penonton, KAFA mungkin antara persatuan yang paling banyak di denda dan puluhan ribu ringgit telah dihabiskan oleh KAFA untuk membayar denda kepada FAM gara-gara ketaksuban para penyokong sehinggga situasi membaling mercun dan objek ke dalam padang menjadi satu tabiat yang cukup sukar untuk dibendung.

Terbaharu, kemarahan penyokong Kelantan kembali meledak apabila Timbalan Presiden FAM, Annuar yang juga Presiden KAFA dikenakan tindakan gara-gara kenyataan dikeluarkan mengenai pasukan Harimau Malaya dianggap sebagai kritikan yang mengaibkan FAM.

FAM sebagai sebuah badan induk yang menguruskan bola sepak negara menerusi beberapa individu kemudiannya bangkit 'membantai' kenyataan yang dikeluarkan oleh Annuar itu yang tidak seharusnya disebarkan kepada media.

Bagi FAM, sebarang kritikan haruslah melalui saluran yang betul dan pasukan Harimau Malaya di bawah kelolaan FAM tidak harus direndah tarafkan oleh sesiapa sahaja termasuklah Annuar yang merupakan orang ketiga di dalam FAM.

Akhbar sebelum ini menyiarkan laporan Annuar sebagai berkata:

"Terus terang saya katakan secara peribadi prestasi tidak menentu dan kadang kala kita dengar alasan-alasan yang tidak semua orang boleh terima. Tiap kali kita kata nak cuba. Bola sepak adalah benda yang berjalan sepanjang masa. Kita tidak boleh kata kita buat ini untuk empat tahun akan datang. Siapa boleh jamin kita akan lebih baik empat tahun lagi".

Mungkin dengan kenyataan itulah, membuatkan ramai yang tersinggung malah, tidak kurang pula yang menggunakan kedudukan masing-masing untuk menyerang Annuar.

Kritikan tersebut dilihat sebagai satu dosa yang tidak boleh diampunkan kerana ada yang berpendapat kenyataan itu menyebabkan maruah Malaysia sebagai pemenang Piala AFF Suzuki dan pingat emas Sukan SEA baru-baru ini tercalar teruk.

Sejarah sebelum ini juga membuktikan mereka yang lantang mengkritik FAM dalam usaha membangunkan bola sepak negara akhirnya 'diterajang'.

Lihat sahaja apa yang berlaku kepada allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil, pengurus pasukan Johor era 90-an, Datuk Suleiman Mohd. Nor dan Datuk Taha Arifin dari Sarawak serta Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (Perak).

Kesemua mereka ini telah membuktikan mereka berjaya melakukan reformasi dalam persatuan bola sepak masing-masing tetapi, apabila mereka lantang mengkritik untuk menjadikan FAM itu sebuah persatuan yang lebih baik, mereka akhirnya terpaksa menerima padah.

FAM seharusnya dilihat sebagai sebuah institusi yang mempunyai 'jiwa' yang besar, menerima kritikan dengan lapang dada terutama apabila ia melibatkan usaha untuk melakukan penambahbaikan.
Sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab membangunkan sukan bola sepak di negara ini, tidak ada pihak mampu untuk mempertikaikan jasa dan pengorbanan FAM mengekalkan bola sepak sebagai sukan paling popular.

Oleh yang demikian, FAM tidak perlu menjadi sebuah badan yang kebal sehinggakan tidak mampu untuk 'diusik' mana-mana pihak walaupun kritikan tersebut dilihat sebagai relevan.

Apa pun, Annuar sudah berdepan Jawatankuasa Tatatertib dan seperti dijangka, dia digantung selama 30 bulan tanpa boleh terlibat dalam semua aktiviti bola sepak kelolaan FAM.

Sekiranya Annuar percaya apa yang dilakukan itu betul demi maruah bola sepak negara, dia tidak perlu gentar demi sebuah kebenaran.

LINK DISINI

Thursday, April 12, 2012

Arema Akur Pemusnah Red Warriors Tajam

Jurulatih Arema Indonesia akur akan kehebatan The Red Warriors apabila kelab Arema tewas 3-1 kepada Kelantan di laman sendiri. Menurut petikan yang di ambil dalam laman web goal.com, jurulatih Arema, Dejan Antonic berkata:

"We punished ourselves today with our mistakes and we conceded three goals and had one red card," said Arema coach Dejan Antonic.

"We had so many chances but we did not have the finishing touch. It came down to the quality of our finishing which we didn't have.

"We only have a very small chance of making it to the next round of the AFC Cup but our players have learned a lot from the experience of playing in the competition."
Sebaliknya, jurulatih Kelantan, Bojan Hodak pula terkejut akan kemenangan bergaya Kelantan memandangkan Arema bermain lebih agresif berbanding ketika mereka beraksi di Kota Bharu.
"Arema played more dangerously here than in Kota Bharu and they had many chances to score," he said. "I didn't have a great expectation about the final score because we played with seven reserves here but it was a good result.
"However, we have not qualified yet and every team in this group is still capable of beating each other although I think that Navibank have the most quality."
Gomo KELATE Gomo!!!

Kelantan Dalam Top 400 Ranking Dunia

Tahniah dan syabas kepada barisan pemain The Red Warriors kerana berjaya membaiki ranking Kelantan di antara semua kelab di seluruh dunia. Ketika ini, Kelantan menduduki tangga 360 berbanding sebelum ini di tangga 406. Satu peningkatan yang agak mendadak setelah Kelantan berjaya memasuki Piala AFC dan memenangi banyak perlawanan sejak akhir-akhir ini. Kedudukan ini diambil dari laman web IFFHS, statistik bola sepak antarabangsa. Kedudukan ini membuat kami anak-anak Kelantan berasa sungguh kagum akan transformasi yang di bawa oleh TSAM, seluruh jawatankuasa KAFA dan juga barisan pemain The Red Warriors yang tidak pernah putus asa berhempas pulas untuk membawa kemenangan balik ke Negeri Kelantan.

Snapshot dan link tersebut adalah seperti di bawah:

Ranking Dunia - Kelantan setakat April 2012

Link IFFHS.

Saturday, April 7, 2012

Nafas Baru Annuar?


Pelik tapi benar, laporan Harian Metro.

TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sedia menjadi orang tengah demi merungkai kemelut yang tercetus berikutan penggantungan Tan Sri Annuar Musa daripada jawatan Timbalan Presiden.

Tengku Abdullah menerusi kenyataan akhbarnya semalam mengaku kesal dan simpati terhadap nasib yang menimpa Annuar, yang turut direhatkan daripada jawatan Pengerusi Malaysia Super League (MSL), Pengerusi Bola Sepak Wanita, Timbalan Pengerusi Skuad Bola Sepak Kebangsaan dan Presiden Kafa.

“Dengan itu saya menawarkan diri saya sebagai pengantara untuk menamatkan kebuntuan ini dan membaiki apa-apa keretakan yang mungkin wujud disebabkan insiden malang ini,” katanya.

“Kita mesti akui dan menghargai sumbangan dan usaha yang diberikan oleh Tan Sri Annuar untuk membangunkan sukan bola sepak di Malaysia khususnya bola sepak di Kelantan.

“Kita juga perlu mengkaji adakah keputusan ini akan merosakkan kerja-kerja baik yang dilakukan Tan Sri Annuar demi membangunkan bola sepak di Kelantan dan adakah Persatuan Bola Sepak Kelantan akan mengalami kesan buruk daripadanya,” kata beliau yang berharap perkara ini dapat diselesaikan secara baik.

Begitupun beliau yang berada di luar negara ketika hukuman itu diputus 4 April lalu menjelaskan kenyataan yang dibuat beliau pada 4 Februari lalu tidak sepatutnya ditafsirkan sebagai satu arahan tapi hakikatnya hanya sebagai nasihat kepada semua pegawai di FAM supaya menghormati perlembagaan persatuan.

“Saya pasti Jawatankuasa Disiplin menjalankan siasatan lengkap terhadap tuduhan yang dikenakan dan mengenakan tindakan disiplin yang sesuai dengan cara yang telus mengikut undang-undang FAM,” katanya.

Beliau turut menjelaskan kenyataan Annuar yang menurutnya mengikut perasaan mungkin disebabkan minat mendalam terhadap bola sepak dan mungkin sudah tiba masanya untuk menyemak kembali perkara yang tidak penting untuk masa depan bola sepak.

Keputusan Sarawak vs Kelantan 1-1, Game 12 Liga Super 2012

Kelantan hampir sahaja dimalukan Sarawak di Kuching apabila ketinggalan 1-0 sehingga ke wisel penamat perlawanan. Namun Farhan bangkit untuk mengikat kedudukan 1 sama pada penghujung perlawanan. Mungkin faktor keletihan menjadi penyumbang kepada prestasi Kelantan sedikit tidak menjadi pada malam ini.

Tidak dinafikan juga, Sarawak bukanlah pasukan yang calang-calang lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan pasukan teratas liga. Semangat juang Sarawak yang tinggi wajar dicontoh oleh mana-mana pasukan lain.

Disebalik keputusan seri Kelantan, kejutan besar berlaku dalam perlawanan antara Selangor menentang Terengganu. Selangor yang dihantui kekalahan dalam beberapa siri perlawanan yang lalu kembali bangkit menundukkan Terengganu dengan jumlah jaringan yang sangat besar iaitu 6 berbalas 1 sahaja.

Diharap Kelantan kembali fokus demi mempertahankan kejuaraan Liga Super. Gomo Kelate Gomo!!!

Friday, April 6, 2012

Ghaddar Ledak Hatrik

Tatkala TSAM menerima hukuman yang dianggap pedih untuk diterima hanya kerana ingin melihat skuad kebangsaan terus maju kehadapan, Ghaddar sedikit sebanyak mengubat kedukaan TSAM apabila berjaya menjaringkan gol untuk pasukan Kelantan menerusi jaringan padang dan bukan lagi penalti. Mungkin beraksi di halaman sendiri memberi kelebihan bagi beliau yang telah sekian lama kemarau gol. Apa yang lebih menarik, Ghaddar meledak 3 gol untuk menundukkan Arema Indonesia dan Kelantan melonjak terus ke tangga kedua peringkat kumpulan Piala AFC.

Diharap permulaan yang baik ini dapat diteruskan lagi oleh Ghaddar. Tidak dapat dinafikan, ramai penyokong Kelantan meminati corak permainan Ghaddar yang bijak menggelecek dan mampu memegang bola dengan lama. Ghaddar juga setaraf dengan penyerang sensasi Kelantan, Mat Yo namun mungkin faktor persefahaman masih menghantui beliau.

Ghaddar tidak fasig berbahasa Inggeris, apatah lagi bahasa Kelantan. Namun ramai yang percaya, Ghaddar akan belajar dialek Kelantan dalam masa yang singkat. Siapa pun pasti akan terikut dengan mudah..

Semoga Ghaddar dapat meneruskan rentak cemerlang beliau bersama Kelantan dalam Piala AFC sekurang-kurangnya membawa Kelantan ke satu lagi peringkat yang dikenali oleh seluruh kelab di asia. Biarpun TSAM tidak boleh bersama untuk memperjuangkan nasib The Red Warriors, namun semangat dan corak pentadbiran TSAM sudah pasti akan diwarisi dan diteruskan oleh pengganti beliau.

Terima kasih TSAM. Terima kasih Ghaddar. Terima kasih The Red Warriors. Gomo KELATE Gomo!!!